Friday, December 26, 2008
Haji tak pergi, RM32,000 lesap
Oleh ROSLI HASSAN
rosli@kosmo.com.my
KAK AN menunjukkan laporan polis yang dibuatnya setelah bayaran menunaikan haji berjumlah RM32,000 dilesapkan seorang lelaki.
--------------------------------------------------------------------------------
MELAKA - Apabila Lembaga Tabung Haji menyenaraikan gilirannya untuk menunaikan fardu haji pada tahun 2011, seorang wanita bertindak membeli pakej haji swasta bersama suaminya untuk pergi naik haji lebih awal tahun ini.
Malangnya, wang yang dibayar sebanyak RM32,000 kepada seorang lelaki yang mengendalikan urusan tersebut akhirnya lesap entah ke mana hingga ke hari ini.
Wanita berusia 55 tahun yang mahu dikenali sebagai Kak An itu berkata, persetujuannya untuk mengambil pakej tersebut adalah atas dasar percaya.
"Seorang saudara saya pernah menggunakan khidmat lelaki yang hanya dikenali sebagai Haji Affendi ini dan kerana itu saya tidak menolak pelawaannya ketika dia menghubungi saya pada pertengahan September lalu.
"Dia mendakwa pakej yang dibawa semuanya menggunakan kuota VIP (orang kenamaan) dan saya dipelawa menyertainya," katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Kak An, bayaran pertama dibuat sebanyak RM3,000 pada pertengahan September lalu untuk membuat visa.
"Saya seterusnya membayar lagi kepada lelaki itu secara berperingkat hingga jumlah yang telah dibayar mencecah RM22,000," katanya.
Bayaran terakhir dilakukan pada 26 November lalu berjumlah RM10,000 dan beliau turut menyerahkan pasport antarabangsanya dan suami kepada lelaki berkenaan.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm
No comments:
Post a Comment