Thursday, December 25, 2008

Kapal tanpa kargo

Industri perkapalan Greece kini berdepan dengan krisis kerana lebih banyak kapal tersangkut di pelabuhan kerana ketiadaan bisnes.



BILANGAN kapal yang diminta terapung menjauhi Piraeus terus meningkat ekoran masalah ini.
--------------------------------------------------------------------------------

PEWARIS keluarga pemilik kapal yang tertua di Greece, Leonidas Polemis memerhati industri perkapalan negara itu dari pejabat mewahnya di pelabuhan Piraeus.

Industri perkapalan global kini berhadapan dengan krisis terburuk. Dalam hanya beberapa bulan, kadar kargo kering telah jatuh lebih daripada 90 peratus.

Bagi Greece, yang memiliki satu perlima kapal dunia, perkembangan itu bermakna masalah yang besar.

"Panik merupakan ayat yang paling baik menggambarkan apa yang sedang berlaku," kata Polemis yang duduk di bawah sebuah lukisan minyak salah satu kapal pertama keluarganya yang dibeli kira-kira 200 tahun lalu.

"Ramai yang menjual kapal mereka dalam keadaan panik. Sesetengah syarikat akan muflis," tambahnya.

Greece kini berhadapan dengan kerugian yang banyak.

Dengan 170 juta tan mendahului negara Jepun, kapal-kapal dagangnya merupakan yang terbesar di dunia.


KAPAL-KAPAL kargo kering pada bulan Mei lalu mampu mengutip RM544,610 sehari tetapi kini hanya meraih RM25,424 atau kurang.
--------------------------------------------------------------------------------

Ia merupakan penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negara itu yang bernilai RM1.1 trilion selepas sektor pelancongan menjana tujuh peratus pengeluaran.

Cabangnya terbentang luas ke pelbagai sektor, dengan usahawan perkapalan yang ulung melabur dalam segalanya daripada perbankan ke pembinaan sehinggalah pelancongan.

Kereta-kereta dan restoran-restoran mewah di hadapan pelabuhan di Piraeus menjelaskan tentang kekayaan yang diperoleh daripada ledakan ekonomi sektor itu. Tetapi para eksekutif berkata, mereka kini berhadapan dengan masalah akibat terjejasnya permintaan dan bekalan kapal yang berlebihan.

"Ini merupakan yang paling teruk pernah berlaku," kata George Xiradakis, ketua konsultan perkapalan di XRTS di Piraeus.

"Semua orang akan menerima kesannya. Ini merupakan sebuah pasaran global, mungkin pasaran global yang pertama di dunia."

Keruntuhan ekonomi global telah mengurangkan permintaan pengangkutan komoditi ke negara-negara pesat berkembang seperti China dan India.

Di samping itu, pengurangan kredit telah membuatkan bank-bank keberatan untuk meminjamkan wang kepada pemilik kapal dan untuk memberikan jaminan kewangan bagi membenarkan kapal mereka belayar.


RAMAI pengusaha kapal menjual kapal mereka dalam keadaan panik.
--------------------------------------------------------------------------------

Ini menyebabkan terdapat kapal yang terkandas di pelabuhan.

Kapal-kapal kargo kering pada bulan Mei lalu mampu mengutip RM544,610 sehari tetapi kini hanya meraih RM25,424 atau kurang.

Pasaran kapal tangki, di mana syarikat Remi Maritime Corp. milik Polemis memiliki 22 buah kapal, terselamat daripada terjejas teruk. Namun demikian, permintaan jelas menurun.

Harga boleh jatuh dengan lebih besar pada tahun hadapan, apabila sejumlah bilangan kapal dijangka akan membanjiri pasaran itu. Lebih 10,000 buah kapal baru kini dalam pesanan, mengikut perangkaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Rakyat Greece terkenal sebagai pelaut sejak ribuan tahun lalu.

Pemilik kapal telah meraih kekayaan apabila bijak mengurus pengepungan tentera laut British dalam perang Napoleon dan pada abad ke-20, kekayaan serta persaingan yang dimiliki Aristotle Onassis dan Stavros Niarchos mula menjadi satu legenda.

Bagi kebanyakan usahawan kapal dagang di Greece, krisis terbaru ini telah menghidupkan kembali memori pahit kemusnahan yang berlaku pada awal tahun 1980-an di mana ratusan kapal kargo terapung sambil diikat bersama di Teluk Saronic pesisir laut Athens kerana ketiadaan pasaran.


KRISIS terbaru ini telah menghidupkan kembali memori pahit kemusnahan yang berlaku pada awal tahun 1980-an.
--------------------------------------------------------------------------------

Broker-broker berkata, terdapat kapal yang menerima arahan untuk memperlahankan kelajuan di laut kerana ketiadaan kargo apabila mereka tiba di pelabuhan nanti.

Bilangan kapal yang diminta terapung sahaja menjauhi Piraeus telah meningkat dan pihak berkuasa berkata trafik di pelabuhan itu menurun dengan mendadak.

"Kami menganggarkan (kejatuhan itu) sekitar 25 peratus buat masa ini. Tetapi dalam masa terdekat, kami dijangka berhadapan dengan penurunan yang lebih besar," kata Nikos Arvanitis, Ketua Kesatuan Maritim Antarabangsa di Piraeus. - Reutres

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...