Thursday, December 25, 2008

Presiden Iran sampaikan mesej Hari Krismas

LONDON - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad akan menyampaikan mesej Hari Krismas di televisyen Britain yang berbeza daripada ucapan tahunan Ratu Elizabeth II, kata stesen penyiaran Channel Four semalam.

Mahmoud akan menyatakan bahawa jika Nabi Isa masih hidup pada hari ini, baginda akan menentang negara-negara pembuli dan penakluk.

"Jika Nabi Isa masih hidup hari ini, sudah tentu baginda akan turut memperjuangkan keadilan dan kasih sayang sejagat dan menentang penakluk, pengganas dan pembuli di dunia," kata teks ucapan Mahmoud.

Stesen televisyen Channel Four mengundang beberapa tokoh untuk menyampaikan ucapan Hari Krismas sebagai alternatif kepada mesej tahunan oleh Ratu Elizabeth II sejak 1993.

Namun, Mahmoud merupakan tetamu stesen televisyen itu yang paling berprofil tinggi setakat ini.

Hubungan Britain dan Iran tegang sejak berlakunya Revolusi Islam pada 1979 dan kemudian menjadi bertambah buruk selepas Teheran melaksanakan program pengayaan nuklear.

Ketua Hal Ehwal Berita Channel Four, Dorothy Byrne menjelaskan punca Mahmoud diundang dengan berkata: "Sebagai pemimpin salah sebuah negara kuasa besar di Timur Tengah, pandangan Mahmoud amat berpengaruh." - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...