Thursday, December 25, 2008

Sukarela bukan mandatori

Oleh PROFESOR DR. ADEEBA KAMARULZAMAN

Panduan Antarabangsa mengenai HIV/AIDS dan Hak Asasi Manusia menyatakan hak seseorang individu yang hidup dengan HIV akan teraniaya dengan adanya ujian mandatori bakal pengantin.



MAJLIS AIDS Malaysia menggalakkan dan menyalurkan idea kepada bakal pengantin tidak kira agama dan bangsa untuk menjalani ujian HIV secara sukarela. - Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------


ISU ujian saringan HIV yang diwajibkan ke atas bakal pengantin Islam menjadi perdebatan di Malaysia sejak ia diperkenalkan oleh Jabatan Agama Islam Johor pada tahun 2001.

Memandangkan kadar peningkatan jangkitan HIV terhadap kaum wanita semakin meningkat sejak kebelakangan ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi bagi ahli jawatankuasa Kabinet mengenai AIDS mengumumkan polisi ini akan dilaksanakan serta merta bermula Januari 2009.

Majlis AIDS Malaysia turut prihatin dan memandang serius mengenai kadar jangkitan HIV yang meningkat dalam kalangan wanita.

Walaupun polisi mandatori ujian HIV untuk bakal pengantin ini akan membuatkan ujian HIV mudah didapati, namun kami tidak dapat menyokong tindakan supaya ujian ini dilakukan secara mandatori.

Kami ingin menegaskan bahawa ujian saringan HIV yang diwajibkan buat bakal pengantin Islam bukanlah satu penyelesaian ke atas peningkatan wabak HIV dalam kalangan wanita berdasarkan sebab-sebab perubatan dan sosial seperti di bawah ini.

Pertama, ujian saringan HIV untuk bakal pengantin hanya dilakukan sekali sahaja, namun risiko bagi jangkitan HIV adalah seumur hidup.

Keputusan negatif tidak menjamin seseorang akan kekal negatif sekiranya seseorang itu tidak meninggalkan tabiat buruk dengan melakukan aktiviti berisiko tinggi seperti seks yang tidak selamat dan perkongsian jarum dalam penagihan dadah. Ini bermakna keputusan negatif ini tidak membawa sebarang jaminan keselamatan bebas HIV kepada pasangan tersebut.

Kedua, ujian HIV mandatori ini menampakkan kesan yang terhad dalam mengawal jangkitan HIV tanpa perantaraan yang khusus diambil untuk mencegah jangkitan ini.

Contoh utama yang boleh kita lihat adalah ujian saringan HIV yang diwajibkan kepada penagih dadah yang ditempatkan di pusat-pusat serenti dan penjara, di mana polisi ini telah pun dikuatkuasakan pada pertengahan tahun 1990-an.

Walaupun kos pelaksanaan polisi ini melibatkan berjuta-juta ringgit, namun kadar peningkatan jangkitan HIV bagi penagih dadah kian meningkat setiap tahun. Oleh itu, tanpa disertakan khidmat kaunseling dan peralatan yang lebih efektif untuk mengubah tabiat berisiko ini termasuk penggantian opiat terapi dan penggunaan jarum serta picagari yang bersih, penagih dadah dan pasangannya masih berisiko tinggi untuk dijangkiti HIV walaupun telah menjalani ujian saringan HIV beberapa kali sekalipun.

Ketiga, adalah amat mustahil segala keputusan ujian dijamin sulit dan dirahsiakan. Oleh kerana tahap stigma dan diskriminasi yang tinggi dan sedia ada pada masyarakat kita terhadap HIV, ujian mandatori ini akan membuatkan pengidap HIV serta ahli keluarganya tersisih dan dibuang dari sesebuah komuniti. Ini akan mengakibatkan kehidupan mereka menderita dan sengsara.

Keempat, memberitahu seseorang individu mengenai keputusan HIV positif mestilah diiringi dengan maklumat yang mencukupi dan tepat termasuk potensi jangkitan selanjutnya serta pendekatan faedah-faedah perubatan. Adalah amat mustahil pihak bertanggungjawab melaksanakan polisi ini termasuk pegawai-pegawai agama.

Daripada sudut perspektif kesihatan awam dan ekonomi, polisi ini akan mempunyai kesan terhad dan nilai dalam masyarakat kita di mana kadar jangkitan HIV pada keseluruhannya dalam kalangan penduduk awam adalah rendah.

Kita akan melakukan ujian saringan ke atas beribu-ribu orang di mana mereka tergolong dalam kumpulan berisiko rendah dan ini berkemungkinan, kita dapat mengesan sebilangan kes sahaja.

Pada pendapat kami, terdapat banyak lagi program-program lain yang terbukti keberkesanannya dalam mencegah epidemik HIV terutama dalam kalangan berisiko tinggi.

Ini termasuk peruntukan maklumat HIV yang tepat, pendidikan dan promosi kondom untuk pekerja-pekerja seks serta pelanggan-pelanggan mereka dan golongan homoseksual. Pada pendapat kami, kumpulan itu harus diberi keutamaan yang lebih tinggi dalam soal peruntukan sumber dan pelaksanaannya.

Mengawal jangkitan HIV dalam kalangan kumpulan ini akan mengurangkan kadar jangkitan di dalam komuniti masyarakat am, memandangkan golongan yang terpinggir ini tidak hidup dalam isolasi.

Tambahan pula jika dikaji dengan lebih mendalam demografiknya, bagi wanita Malaysia yang dijangkiti HIV, majoritinya dijangkiti melalui suami atau pasangannya yang merupakan seorang penagih dadah.

Oleh itu, antara langkah terbaik yang boleh diambil untuk mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan wanita adalah dengan mengawal jangkitan HIV khususnya dalam kalangan lelaki yang terlibat di dalam penagihan dadah. Apa yang diperlukan segera adalah liputan luas mengenai program-program yang telah terlaksana kini seperti penjagaan terapi metadon dan program pertukaran jarum.

Seterusnya, dengan memberi kuasa kepada wanita dalam komuniti masyarakat dan menyediakan ilmu pengetahuan yang lengkap mengenai bagaimana jangkitan HIV boleh dan tidak boleh berlaku, ia adalah sesuatu yang jauh lebih berkesan dan efektif dalam melindungi kaum wanita ini.

Satu kajian yang telah dibuat ke atas wanita HIV positif di Kota Bharu, Kelantan mendapati walaupun isteri mengetahui suaminya merupakan seorang penagih dadah yang HIV positif, isteri tersebut tidak dapat berbincang dengan suaminya untuk melakukan hubungan seks secara selamat dengan menggunakan kondom. Jelas sekali bagi wanita-wanita ini, ujian saringan HIV bakal pengantin tidak memberikan sebarang jaminan untuk melindungi mereka daripada dijangkiti.

Bagaimanapun, Majlis AIDS Malaysia menggalakkan dan menyalurkan idea kepada bakal pengantin tidak kira agama dan bangsa untuk menjalani ujian HIV secara sukarela bagi mengetahui status HIV mereka.

Ujian secara sukarela ini lebih berkemungkinan dapat mengubah tingkah laku dan tabiat seseorang untuk mengelak dan mengawal jangkitan HIV kepada individu lain.

Penulis adalah Presiden Majlis AIDS Malaysia

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1224&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...