Thursday, January 15, 2009

Israel bedil pula selatan Lebanon


ASAP putih menjulang ketika tentera Israel membedil sebuah lokasi di utara Genting Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


BEIRUT - Meriam-meriam tentera Israel membedil selatan Lebanon semalam sebagai membalas satu serangan roket ke wilayah Yahudi, kata beberapa pegawai keselamatan Lebanon.

Mereka berkata, askar-askar negara itu turut memusnahkan sejumlah roket yang sedia ditembak ke dalam wilayah Yahudi.

Insiden berbalas tembakan itu merupakan yang kedua sejak Israel menyerang kerajaan Gaza pada 27 Disember lalu dan mengancam mencetuskan perang baru antara negara Yahudi itu dengan Lebanon.

Polis Israel berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan selepas tiga roket dari selatan Lebanon mengenai kawasan terbuka berhampiran bandar Kiryat Shemona tetapi penduduk sekitar diarahkan berlindung dalam pusat perlindungan bom.

Tentera Lebanon juga menyatakan tidak ada kecederaan berlaku di pihak mereka.

Sementara itu, kerajaan Lebanon mengutuk serangan roket ke Israel.

Menteri Penerangan, Tarek Mitri berkata, serangan seperti itu mengancam kepentingan negara dan memberikan alasan kepada Israel untuk menyerang Lebanon. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0115&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...