Thursday, January 15, 2009

Siapa Ezam? - Anwar


Satu pun saya tidak layan

13 Jan 2009 11:05AM

"EZAM who?" begitulah reaksi awal Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila diminta mengulas kenyataan Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Nor yang akan mendedahkan "surat damai" Penasihat Parti Keadilan Rakyat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 8 September 1998.

Surat itu dakwa Ezam yang pernah jadi Setiausaha Politik kepada Anwar akan membuktikan bagaimana sikap hipokritnya kerana pada waktu yang sama mengutuk mantan Perdana Menteri selepas dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Anwar dengan stailnya yang bersahaja sebaliknya memperlekehkan kenyataan Ezam nak dedahkan surat itu menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu Sabtu ini.

Kalangan yang cukup arif dengan stail Anwar mendakwa beliau selalu mengambil taktik mengelak untuk melayan cabaran Ezam kerana sedar bekas orang kanannya itu ' tahu banyak'.

Kata Anwar sejak pilihanraya umum tahun lalu, sebanyak 101 tuduhan dilemparkan oleh Ezam terhadapnya.

“Tetapi satupun saya tidak layan. Yang ini juga saya tidak mahu layan kerana jika saya berbuat begitu, ia seolah-olah saya memberikannya pengiktirafan," katanya menjawab soalan para wartawan mengenainya di bangunan Parlimen petang Isnin.

Apabila ditanya sama ada surat yang disebut oleh Ezam itu wujud atau tidak, Anwar sekali lagi memberikan jawapan yang hampir sama, dan bertanya semula kepada wartawan, ""Surat itu bertarikh 10 tahun lalu ya?"

Apabila diajukan sama ada beliau tidak mengiyakan atau menafikan tuduhan itu, Anwar pula berkata, "macam awak cakap, surat itu bertarikah 1998. Benda itu dah lama bukan," kenyataan yang membuat wartawan kebingungan.

Anwar kemudian mengatakan apa-apa sahaja yang didakwa oleh Ezam tidak akan menjejaskan peluang kepada PR memenangi kerusi parlimen Kuala Terengganu.

Ezam, ketika memberi ceramah di Bukit Kecil, Kuala Terengganu, Ahad mendedahkan dia memiliki surat bertulis tangan oleh Anwar yang mengajak Dr Mahathir berdamai.

Kata Ezam bahawa Anwar telah memanggilnya dan meminta beliau sampaikan surat berkenaan kepada Dr Mahathir.

Menurut Ezam Anwar begitu marah ketika Dr Mahathir memecatnya, tapi kandungan surat itu amat berlainan dengan sikap Anwar.

Ezam turut mengumumkan akan mendedahkan semua kandungan surat itu kepada pengundi di Kuala Terengganu sebelum Sabtu ini.

Ketika diminta mengulas pendapat pemerhati politik atau media yang memberikan peluang 50-50 kepada BN dan PAS dalam pilihanraya kecil Terengganu, Anwar berkata, anggapan itu sudah dianggap cukup baik bagi pembangkang.

"Peluang 50-50 sudah boleh dianggap paling selamat memandangkan kita berdepan dengan "media yang serong" dan wang berjutaan Ringgit. Sesetengah media pula membuat laporan seolah-olah hanya satu parti yang bertanding.

Menyentuh ramalan keputusan pilihanraya kecil di Kuala Terengganu bakal ditentukan oleh undi kaum Cina, Anwar berkata, walaupun kecil, undi kaum itu dan juga India sudah pasti akan membantu.

"Kami tidak memandang rendah sesiapa. Baik Undi Melayu, Cina atau India, semuanya sama penting. Insyalah kita akan menang jika kita kerja kuat," katanya. / Agendadaily

http://www.klpos.com/news/2009/01/13/3.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...