Thursday, January 15, 2009

Malaysia alami kelembapan: KDNK 0.5 berbanding unjuran awal 3.1


''Kelembapan teknikal hanya berlaku dalam tempoh singkat iaitu tiga bulan sahaja pada tahun ini" Citi Investment


14 Jan 2009 12:01PM

KL: Citi Investment Research (Citi Investment), di bawah kumpulan perbankan terkenal, Citibank, menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini kepada 0.5 peratus berbanding sasaran awalnya pada 3.1 peratus.
Pengarah Ketua Kajian Malaysia, Kajian Ekuiti Asia Pasifik, Citi Investment, Choong Wai Kee berkata, unjuran itu berdasarkan impak krisis kewangan global semasa yang semakin dirasai oleh negara khususnya dalam pertumbuhan eksport yang mengalami aliran menurun.

Ini dapat dilihat daripada prestasi eksport pada bulan November tahun lalu yang menurun sejak dua bulan berturut-turut sebanyak 4.9 peratus.

Faktor-faktor lain yang menunjukkan negara mula mengalami perubahan daripada krisis kewangan global itu ialah jumlah pekerja yang diberhentikan oleh data Bank Negara Malaysia adalah 11,560 orang pada suku tahun ketiga 2008.

Permohonan pinjaman pengguna dan kelulusan juga menurun, perbelanjaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang perlahan manakala terdapat lebih banyak penyusutan dalam pendapatan syarikat korporat.

Wai Kee berkata, bagi prestasi suku ke suku untuk tahun ini pula, Malaysia dijangka mencatat kemelesetan teknikal bagi suku pertama pada -0.9 peratus, diikuti dengan sifar peratus masing-masing bagi suku kedua dan ketiga manakala pertumbuhan ekonomi pulih kepada dua peratus pada tahun suku keempat.

''Kelembapan teknikal hanya berlaku dalam tempoh singkat iaitu tiga bulan sahaja pada tahun ini tetapi ia tidak bermakna Malaysia akan mencatat kemelesetan teknikal untuk keseluruhan tahun 2009.

''Bagaimanapun ekonomi akan pulih sedikit pada suku keempat bergantung kepada usaha proaktif kerajaan yang memperkenalkan beberapa pakej rangsangan untuk menjana perkembangan ekonomi,'' katanya pada sidang akhbar tentang hala tuju negara dalam mendepani perkembangan bagi tahun 2009 di sini.

Kerajaan mengunjurkan KDNK 3.5 peratus pada tahun ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan walaupun kegawatan kewangan global memberi kesan yang buruk ke atas ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah.

Citi Investment, bagaimanapun menyasarkan pertumbuhan ekonomi negara akan menjadi lebih baik menjelang tahun 2010 iaitu pada kadar 4.2 peratus.

Selain itu, Wai Kee berkata, dalam menghadapi senario berkenaan, pakej rangsangan ekonomi kerajaan dengan peruntukan RM7 bilion merupakan langkah paling praktikal kerana negara tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada eksport.

Katanya, negara akan menghadapi risiko yang tinggi jika terus bergantung kepada pendapatan daripada eksport ekoran semua ekonomi di seluruh dunia tidak membeli lagi di pasaran antarabangsa.

''Bagaimanapun, bagi kami pakej rangsangan bernilai RM7 bilion itu tidak mencukupi untuk menghadapi kemelut kewangan tersebut dan terdapat keperluan bagi kerajaan untuk berbelanja lebih daripada jumlah tersebut.

''Meskipun kami tidak dapat memberi sebarang nilai unjuran yang sepatutnya dibelanjakan oleh kerajaan (bagi pakej rangsangan) tetapi jumlah unjuran RM30 bilion yang pernah dilaporkan sebelum ini oleh syarikat swasta adalah suatu jumlah yang munasabah.

''Tetapi kerajaan perlu mengimbanginya kerana bajet defisit negara adalah 4.8 peratus, jumlah itu akan menjadi lebih besar jika kerajaan berbelanja lebih,'' terangnya.

Namun beliau berharap kerajaan menumpukan usaha kepada mempercepatkan lagi sebahagian daripada projek yang telah dirancangkan sebelum ini.

Katanya, banyak projek pembangunan yang diumumkan oleh kerajaan dan terdapat ruang bagi kerajaan untuk menyegerakan kerja berkenaan serta dalam masa yang sama memastikan perlaksanaannya berjalan lancar.

Ditanya mengenai pakej rangsangan kedua, Wai Kee berkata, peruntukan itu dijangka lebih RM7 bilion.

''Kami tidak membuat sebarang unjuran jumlah yang akan diperuntukkan dalam pakej rangsangan ekonomi kedua itu, tetapi berdasarkan kepada penanda aras negara jiran di rantau ini dan kadar KDNK, maka belanjanya dijangka lebih besar melebihi RM7 bilion,'' ujarnya.

http://www.klpos.com/news/2009/01/14/1.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...