Sunday, February 8, 2009

'Biar sahaja dia di situ'


ZAMBRY ketawa melihat muka 2 Kosmo! semalam yang memaparkan laporan yang menyifatkannya sebagai 'Obama Perak' di Ipoh semalam.





IPOH - Walaupun Barisan Nasional (BN) telah mengambil alih Perak, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin boleh mengambil selama mana masa yang diperlukan untuk mengosongkan kediaman rasmi.

Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, beliau sendiri tidak berhasrat untuk segera berpindah ke kediaman rasmi itu dan boleh melaksanakan tugas barunya dari rumahnya sendiri.

"Kalau dia tidak mahu kosongkan, biarkan sahaja dia tinggal di situ. Apa yang penting, bukan kediaman dan kereta rasmi tetapi bersedia meneruskan khidmat kepada rakyat.

"Ambillah masa yang anda (Mohammad Nizar) perlukan, kalau saya tidak dapat berpindah masuk, tidak mengapa dan saya tidak kisah," katanya selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Parti Gerakan di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Mohammad Nizar yang masih enggan mengosongkan kediaman rasmi berkenaan meskipun bukan lagi sebagai Menteri Besar Perak.

Mohammad Nizar pada 'mesyuarat Exco khas' kira-kira pukul 12.40 tengah hari semalam, sekali lagi mengulangi pendiriannya akan terus menggunakan kediaman rasmi tersebut.

Dalam pada itu, jurucakap pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) ketika dihubungi semalam menjelaskan, meskipun Mohammad Nizar belum menerima sebarang notis pengosongan premis tersebut tetapi adalah wajar sekiranya beliau berbuat demikian dalam masa terdekat.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0208&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...