Sunday, February 8, 2009

Tarif elektrik turun dijangka 1 Mac


TAMPIN: Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, kementeriannya akan mengumumkan kadar baru lebih rendah bagi tarif elektrik pada 1 Mac ini.

Katanya, ia dijangka akan memberikan kesan positif di mana kadar penurunannya dijangka akan dikurangkan sebanyak 7 hingga 10 peratus melibatkan beberapa industri yang berdaya maju selain dari rumah kediaman.

"Kita telah pun berbincang dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan pembentangan mengenainya akan dibuat dan dibincangkan kepada jemaah Kabinet pada Rabu ini.

"Bagaimanapun saya tidak boleh menyatakan jumlah berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis 'Olek Sekampung', program pengurangan kemudaratan di Pejabat Kesihatan Daerah Tampin di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, kata beliau, kementeriannya juga akan memberikan rebat kepada industri yang menggunakan tenaga elektrik yang banyak bagi sesebuah industri seperti kilang pembuatan besi dan air.

Untuk itu, kata beliau, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mengenal pasti beberapa syarikat industri yang dianggap strategik.

Shaziman, Ahli Parlimen Tampin, berkata turut diberi keutamaan ialah beberapa industri kritikal antaranya makanan yang dilihat menggunakan pekerja yang ramai selain mempunyai peralatan industri yang menggunakan sumber elektrik.

"Oleh yang demikian kita telah meminta Petronas untuk mengurangkan harga gas kepada sektor berkenaan yang dilihat dapat membantu mengurangkan kos penggunaan elektrik dan Kabinet juga telah meminta kementerian untuk melihat perkara ini," katanya.

Katanya, adalah lebih baik menilai tarif berdasarkan perkembangan semasa tanpa menunggu lebih lama untuk menyemaknya. BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...