Wednesday, May 6, 2009

Lydiawati dapat RM103,000 selepas bercerai



Lydiawati



Azhar


BANTING - Pelakon Lydiawati bakal menerima RM103,000 daripada bekas suaminya, Azhar Mohd. Zar selepas diceraikan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat di sini semalam berdasarkan perjanjian persetujuan bersama kedua-dua belah pihak sebagai syarat bercerai secara baik.

Mengikut perjanjian, Azhar dikehendaki memulangkan kembali hantaran perkahwinan ataupun nilai seumpamanya sebanyak RM67,000, nafkah edah dan muta'ah RM30,000 serta tunggakan nafkah RM6,000 kepada aktres tersebut.

Azhar selaku plaintif melafazkan talak satu pada pukul 11.47 pagi di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Fauzi Ismail mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga (Negeri Selangor) 2003 iaitu bercerai dengan persetujuan melalui kebenaran mahkamah.

Lydiawati ketika ditemui ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya selepas bekas suaminya, seorang ahli peniagaan bersetuju melafazkan cerai.

"Apa reaksi saya? Semestinya saya gembira setelah dilepaskan," luah Lydiawati atau nama sebenarnya, Salina Zaimon, 44, sambil tersenyum ketika ditanya berhubung perceraian kali keduanya dengan Azhar Mohd. Zar, 35.

Heroin filem Suami Isteri dan... itu juga menarik nafas lega apabila mahkamah mengarahkan Azhar supaya mematuhi perjanjian yang telah dibuat sebagai syarat bercerai secara baik.

Terdahulu, peguam syarie, Zulkifli Che Yong yang mewakili Lydiawati memaklumkan bahawa pihaknya ingin menarik balik permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan sebelum ini dan meneruskan dengan bercerai secara baik.

Mereka berbuat demikian setelah Azhar ketika melafazkan cerai secara kinayah (kurang jelas) Februari lalu yang berbunyi, "aku bebaskan kau, kau bebas buat apa-apa pun," mendakwa tidak mempunyai niat untuk menceraikan Lydiawati pada waktu itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...