shantynur@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Taktik dilakukan sepasang suami isteri dari Asia Barat yang memasuki negara ini sebagai pelancong sebelum melakukan samun di sekitar ibu negara terbongkar apabila ditahan orang awam di sini, Jumaat lalu.
Pasangan berusia 28 dan 38 tahun itu turut membawa seorang anak berusia lapan tahun ketika melakukan kegiatan itu.
Mereka hanya mensasarkan pelancong asing yang membeli-belah di sekitar ibu kota sebagai mangsa dengan berpura-pura ingin menukar wang sebelum menyamun mangsa.
Kegiatan pasangan itu dikesan seorang warga tempatan yang kebetulan berada di tempat kejadian dan memerhatikan gerak-geri pasangan terbabit memperdaya seorang mangsa di kawasan membeli-belah di Jalan Bunus di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, pasangan suami isteri itu ditahan orang awam kira-kira jam 6.50 petang selepas memperdaya seorang pelancong asing.
“Modus operandi pasangan itu ialah meminta mangsa menunjukkan mata wang negara masing-masing daripada dompet dengan alasan mahu menukar wang.
“Suspek kemudian berpura-pura membelek wang itu sebelum melarikannya,”’ katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala Lumpur, semalam.
Sasaran suspek bukan rakyat tempatan sebaliknya memilih pelancong luar yang sedang membeli belah.
“Perwatakan suspek wanita yang memakai tudung labuh serta membawa seorang anak ketika menjalankan kegiatan jenayah itu dapat meyakinkan mangsa.
“Pasangan itu memasuki negara ini sebagai pelancong untuk tempoh sekitar dua minggu sebelum ke beberapa negara jiran untuk melakukan jenayah sama,” katanya.
Penahanan suspek membolehkan lima kes menggunakan modus operandi sama bagi tempoh tiga bulan sejak Februari lalu dapat diselesaikan.
“Jumlah kerugian tertinggi dilaporkan mangsa mencecah RM2,000 dan kedua-dua suspek kini direman dua minggu sehingga 15 Mei depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090505052325/Article/index_html
No comments:
Post a Comment