Wednesday, May 6, 2009

Mexico kembali pulih


SEORANG wanita memakai topeng muka di bandar raya Mexico kelmarin.


BANDAR RAYA MEXICO - Suasana di Mexico beransur-ansur pulih seperti sedia kala semalam apabila lalu lintas semakin sibuk dan kafe-kafe dibuka semula setelah ditutup selama lima hari bagi membendung penularan wabak influenza A H1N1.

Bagaimanapun, kerajaan Mexico masih membatalkan beberapa acara besar termasuk Cinco de Mayo iaitu perayaan bagi memperingati kejayaan menewaskan tentera Perancis pada 1862.

Presiden Mexico, Felipe Calderon mengarahkan premis perniagaan turut dibuka semula.

Beberapa universiti dan sekolah tinggi di negara itu akan kembali dibuka esok manakala pelajar sekolah rendah dijangka melapor diri untuk memasuki sekolah masing-masing pada Isnin depan.

"Jadual sekolah akan kembali seperti biasa," kata Calderon.

"Keadaan semakin hampir seperti sedia kala, tetapi setiap orang perlu menjaga kebersihan," tambahnya.

Setakat semalam jumlah kenderaan di ibu negara berkenaan semakin bertambah manakala jumlah orang ramai yang memakai topeng muka semakin berkurangan.

Sementara itu, Setiausaha Kesihatan, Jose Cordova berkata, jumlah jangkitan semakin berkurangan sejak 27 orang disahkan mati akibat influenza A H1N1, termasuk seorang bayi Mexico yang meninggal dunia di Texas, Amerika Syarikat. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...