Friday, June 26, 2009

35 pesakit sembuh

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

sidang media, semalam." title="UMUM...Liow (kanan) bersama Dr Mohd Ismail pada
sidang media, semalam." height="185" width="300" border="0">
UMUM...Liow (kanan) bersama Dr Mohd Ismail pada
sidang media, semalam.

PUTRAJAYA: Seramai 35 pesakit yang disahkan positif selesema babi sudah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital manakala 56 pesakit lagi masih dirawat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata sehingga semalam 91 kes dilaporkan positif termasuk 11 kes terbaru membabitkan lapan kes import dan tiga jangkitan tempatan.

“Dari jumlah itu 35 pesakit sudah sembuh dan 56 lagi masih dirawat. Semua pesakit berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan antiviral,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang kepada 535 kakitangannya di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Liow berkata, sebanyak 28 pesakit dirawat di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur (5), Hospital Pulau Pinang (6), Hospital Ipoh (1), Hospital Alor Star (4), Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (4), Hospital Tuanku Jaafar (3), Hospital Umum Sarawak (3) dan Hospital Sandakan (1).

Menurutnya, seramai 76 kontak bagi kes ke 23, 24, 25 dan 26 sudah tamat tempoh kuarantin di rumah.

Sementara itu, 586 kontak masih dikuarantin di rumah termasuk 133 kontak baru dikesan dan semua berada dalam keadaan stabil tanpa simptom jangkitan wabak itu.

Bagi kes terbaru, Liow berkata lima daripada kes import dilaporkan membabitkan warga Malaysia manakala tiga lagi membabitkan warga Ireland, Australia dan Filipina.

“Kes jangkitan tempatan pula membabitkan dua warga Malaysia dan seorang warga Yaman,” katanya.



Info kes terbaru jangkitan selesema babi:

  • Wanita warga Malaysia berusia 27 tahun pulang bercuti dari Thailand lima hari bersama 10 rakannya dan tiba di LCCT pada 21 Jun lalu dengan menaiki pesawat AirAsia AK823, tempat duduk 28A. Beliau meneruskan penerbangan ke Pulau Pinang dengan pesawat AK5368 (tempat duduk 22F).



  • Pelancong wanita warga Australia berusia 26 tahun, tiba di Lapangan Terbang Kuching dari Singapura dengan pesawat Jetstar 3K529 (tempat duduk 5C).



  • Pelajar lelaki warga Yaman berusia 25 tahun yang mengikuti pengajaran Bahasa Inggeris di institusi swasta dan kontak kepada mangsa ke-63.



  • Kanak-kanak warga Malaysia berusia 9 tahun tinggal di Cyprus dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Dubai dengan pesawat EK346, untuk bercuti bersama bapanya pada 20 Jun lalu.



  • Kanak-kanak warga Ireland berusia enam tahun, bercuti ke Malaysia bersama ahli keluarganya dengan menaiki pesawat Silk Air MI358 (tempat duduk 17C,D,E dan F) sebelum tiba di Pulau Pinang, pada 21 Jun lalu.



  • Lelaki warga Malaysia berusia 21 tahun, baru pulang melancong dari Melbourne, Australia tiba di KLIA menaiki pesawat D7 2723, pada 21 Jun lalu.
  • No comments:

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...