Friday, June 26, 2009

Ako bakal bergelar bapa, tertekan tiada kerja

Jumaat Jun 26, 2009

Ako dan isterinya, Kartina Shuaib Abdullah.

AKTOR Ako Mustapha yang pernah ditangkap khalwat dengan seorang wanita kini sedang berada dalam keadaan tertekan apabila banyak tawaran lakonan yang terbatal tanpa sebab yang munasabah.

Ini kerana, ia merupakan kali pertama suami kepada Kartina Shuaib Abdullah ini menempuhi hal seumpama ini lebih-lebih lagi dia bakal bergelar bapa nanti.

“Karier saya sangat perlahan sekarang dan memang saya tidak mempunyai apa-apa pekerjaan langsung setakat ini.

“Saya rasa sangat stres dan merasakan kehidupan ini agak ‘tough’ dan bertambah ‘struggle’ dengan keadaan saya yang mempunyai isteri dan bakal mendapat anak nanti.

“Tetapi, apa yang saya boleh lakukan. Saya telah buat yang terbaik. Jadi, selepas ini saya perlu mencari jalan lain untuk menyara kehidupan sekeluarga,” kata Ako.

Beritahu Ako, kini tekanannya bagaikan ‘terubat’setelah mendapat tahu isterinya mengandung 11 minggu.

“Hal ini membuatkan saya terfikir untuk tidak hanya memikirkan tentang diri-sendiri tetapi lebih kepada keluarga dan matlamat yang ingin dicapai, tutur Ako yang sekali-sekala bersuara ceria bagaikan tidak sabar untuk bergelar bapa.

Ako akui yang kes khalwat yang masih dalam perbicaraan Mahkamah Syariah itu memberikan sedikit sebanyak kesan kepada karier seninya.

“Saya dapat rasakan yang orang atasan dalam beberapa produksi mungkin tidak berminat untuk mengambil saya berlakon walaupun saya tidak disenarai hitamkan dari tiga stesen TV.

“Ada juga saya mendapat tahu yang sebuah produksi ini mahu menunggu sehingga kes ini selesai baru mahu mengambil saya berlakon.

“Ada juga yang ‘offer’ tetapi tak cakap apa-apa manakala ada satu syarikat produksi lagi yang datang ‘offer’ tetapi selepas itu terus senyap.

“Mungkin mereka takut nak guna saya atau ada sebab lain mungkin...,” tutur pelakon popular menerusi drama tempatan ini.

Sukar setara mana pun, Ako tetap tegas dengan prinsipnya yang tidak suka merayu mana-mana produser untuk mendapatkan kerja.

“Saya tak pernah bertanya tentang kerja kepada produser seperti bila nak ambil saya berlakon dan sebagainya kerana saya bukan jenis macam tu.

“Kalau ada rezeki selepas ini, Alhamdulillah,” jelasnya.

Malah, Ako tetap bersyukur kerana peluang dia tidak mempunyai pekerjaan sekarang digunakan sebaik mungkin untuk meluangkan masa dengan isterinya yang masih baru menyesuaikan diri dengan dunia kehamilan itu.

“Saya rasa apa yang saya lalui sekarang sama seperti beberapa bahagian yang saya tonton dalam filem ‘Nine Months’.

“Saya teruja apabila pertama kali dapat melihat denyutan jantung kandungan isteri semasa pergi ‘scan’ baru-baru ini.

“Sekarang, isteri saya mengidam semua makanan yang saya suka. Jadi, saya akan tolong makan makanannya yang tak habis. Lagipun, saya ni jenis suka makan kalau stres.

“Kadangkala, saya kena melayan perangainya yang berubah-ubah sehingga saya perlu berhati-hati untuk menegurnya. Saya juga tidak boleh ambil makanan dia sehingga dia betul-betul selesai makan

“Saya juga belajar untuk mengingati temujanji yang dilakukan bersamanya agar dia tidak terasa yang saya terlupa. Jadi, saya perlu utamakan dia terlebih dahulu sebelum membuat temujanji lain,” cerita Ako sambil tertawa.

Rupa-rupanya, tekanan yang dialami oleh Ako sedikit-sebanyak turut dirasai oleh Kartina sehingga isterinya mengalami pendarahan.

“Kartina lagi stres apabila mendapat tahu tentang hal ini. Sudahlah emosi dia tak stabil semasa mengandung, jadi dia bertambah stres selepas mengetahui kerja saya dibatalkan.

“Dia stres sehingga mengalami pendarahan dan mengambil ubat hospital untuk kuatkan rahimnya. Ada dalam tiga kali setiap minggu pendarahan itu berlaku pada bulan lepas,” katanya.

Ako juga sedang dalam proses menunggu tarikh perbicaraan lanjut mengenai kes khalwatnya yang belum ditentukan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Menurut Ako, dia juga menukar khidmat peguam syarie Zuri Zabuddin Budiman kepada peguam syarie Akhbardin Abdul Kadir kerana merasakan peguam barunya itu lebih layak.

“Baru semalam saya mendapat panggilan mahkamah yang memaklumkan akan menetapkan tarikh untuk perbicaraan itu nanti.

“Saya berharap semoga kes ini selesai dengan cara terbaik dan tidak membawa saya ke penjara,” luah Ako mengakhiri perbualannya.

Ako yang mengaku bersalah berhubung kes khalwat dengan Anang Sagunting dijatuhkan hukuman denda RM3,000 dan penjara 3 bulan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur, 21 April lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad atas kes khalwat Ako dan dia dianggap telah menghina mahkamah setelah empat kali gagal menghadirkan diri semasa sebutan kes yang lalu.

Ako didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Ako, 37, yang berkahwin dengan Kartina, 29, pada 17 Januari lalu dituduh berkhalwat dengan Anang Sagunting, 25, di Oakleaf Park Kondominium, Persiaran Bukit Antarabangsa di sini, sekitar jam 1.20 pagi, pada 27 Jun 2007.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/6/26/mstar_hiburan/20090625193008&sec=mstar_hiburan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...