KISAH cinta hebat yang berdekad lamanya antara bintang terkenal 'The Charlie's Angels' Farrah Fawcett, 62 tahun dan aktor kacak Ryan O'Neil akan senantiasa dikenang dan termaktub sebagai satu lagenda cebisan dari cerita cinta bintang Hollwood.
Walaupun pasangan ini tidak pernah berkahwin, kasih mereka tidak pernah pudar dan surut.
Bintang jelita Farrah Fawcett (Februari 2, 1947 - June 25, 2009) merupakan pelakon dan bintang filem terkenal Amerika.
Beliau telah beberapa kali tercalon dalam anugerah 'Golden Globe' dan 'Emmy Award'.
Farrah mula mendapat perhatian antarabangsa apabila pertama kali muncul melakonkan watak penyiasat peribadi, Jill Munroe dalam siri Drama TV 'Charlie's Angel' pada tahun 1976.
Farrah juga adalah seorang ikon bintang pop yang mana fesyen rambutnya turut menjadi ikutan jutaan gadis-gadis muda. Penjualan posternya juga mencapai rekod yang tinggi menyebabkan beliau menjadi simbol seks antarabangsa dari tahun 1970 hingga 1980. Dilahirkan di Corpus Christi, Texas dengan nama Ferrah Leni Fawcett pada 2 Februari 1947 dan merupakan seorang adik bongsu kepada dua adik-beradik.
Ibunya, Pauline Alice, adalah seorang suri rumah manakala bapanya, James William Fawcett, seorang kontraktor di kawasan petroleum.
Beliau berketurunan Perancis, Inggeris dan orang Indian Amerika dari kaum Choctaw. Fawcett menjelaskan bahawa nama "Ferrah" sebenarnya adalah nama yang diberikan oleh ibunya kerana lebih sesuai dengan nama keluarganya. Tetapi huruf "e" pada namanya kemudian ditukar kepada "a", dan disebut sebagai "Farrah"
Farrah mengikuti pembelajaran di University of Texas tetapi tidak habis belajar.
Setelah wajah jelitanya terpampang dalam poster "Ten Most Beautiful Coeds" di universiti tersebut, seorang publisis dari Hollywood telah menelefonnya dan mengajaknya datang ke Los Angeles untuk mencuba bakatnya di Hollywood.
Farrah berkahwin dengan aktor Lee Majors, bintang TV 'The Six Million Dollar Man', dari tahun 1973–1982. Pasangan ini sebenarnya kurang serasi dan hidup berasingan sejak tahun 1979.
Ketika perkahwinan ini berlangsung, Farrah lebih dikenali sebagai Farrah Fawcett-Majors.
Namun nama Farrah kembali menjadi gosip hangat apabila beliau memadu kasih dengan bintang kacak Ryan O'Neil pada tahun 1982.
Mereka mempunyai seorang anak bernama, Redmond O'Neal, yang dilahirkan pada tahun 1985.
Redmond mempunyai ketagihan yang teruk dan didapati bersalah apabila ditangkap dengan posesi narkotik pada April, 2009.
Gandingan Farrah-Ryan O'Neil tidak pernah padam. Di kalangan rakan-rakan selebriti, pasangan ini disifatkan sebagai paling ideal.
Sewaktu Farrah disahkan mengidap kanser pada tahun 2006, orang pertama yang berlari untuk memberi sokongan moral kepadanya ialah Ryan.
Keadaan Farrah bertambah teruk pada awal tahun ini apabila kansernya merebak dengan begitu cepat sekali.
Ryan begitu setia menemani kekasih dan sahabat setianya itu. Dia turut memberi kenyataan media menerangkan keadaan 'puteri kesayangannya' itu yang sedang bertarung dengan kanser.
"Keadaan Farrah seolah-olah seperti orang yang sedang tidur," kata O'Neil sebak dan matanya bergenang dengan kaca-kaca airmata. Menurut laporan dari The Los Angeles Times, kanser yang ditanggung Farrah sudah sampai ke tahap paling kritikal dan di fasa terakhir.
Keadaan kesihatannya yang membimbangkan memaksa pihak berkuasa menunaikan permintaannya untuk menatap dan berjumpa anak kesayangannya, Redmond pada bulan April tahun ini.
Permintaan Farrah diluluskan meskipun Redmond sedang menjalani hukuman penjara dan di bawah pemantauan.
Ayah Farrah, James Fawcett, 91 tahun, pula walaupun sudah uzur tidak melepaskan peluang menemui satu-satu anaknya yang tinggal. (Farrah hanya punya seorang adik perempuan, Diane. Diane telah meninggal pada tahun 2001 kerana mengidap kanser paru-paru).
Disebabkan kanser yang ditanggungnya, Farrah hilang 'mahkota' yang pernah menjadi kegilaan ramai gadis di seluruh dunia pada ketika itu. Disebabkan 'mahkota' ini juga, Farrah pernah dinobatkan antara wanita tercantik di dunia.
Sebuah dokumentari tentang kisah hidup Farrah yang berdurasi selama dua jam, dan diusahakan bersama Farrah dan rakan baiknya Alana Stewart, telah disiarkan di NBC pada 15 Mei, 2009.
Dokumentari itu telah ditatap oleh hampir 9 juta orang melalui kabel network MSNBC, Bravo dan Oxygen.
Pada bulan Jun, O'Neal nekad melamar Farrah. Walaupun pasangan ini sering berkepit bagaikan belangkas dan mempunyai seorang bersama, mereka tidak pernah berkahwin.
Untuk memeterai kasih dan cinta luhur mereka, O'Neal mahu berkahwin dengan wanita yang dicintainya walaupun Farrah berada di tahap kritikal melawan kanser yang dihidapinya.
Perkahwinan itu sepatutnya berlangsung pada bulan ini tetapi Tuhan tidak mengizinkan dan Farrah terlebih dahulu menemui ajalnya.
Farrah meninggal pada 9:28 pagi pada 25 Jun, 2009, di ICU, Saint John's Health Center di Santa Monica, California, di samping O'Neal yang senantiasa menemaninya.
No comments:
Post a Comment