Thursday, June 18, 2009

Jerat bini muda

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my

CHANGLUN: Keinginan segelintir warga emas merasai keseronokan atau nikmat beristeri dua dengan mencari wanita muda dari negara jiran sebagai isteri muda, akhirnya menjerat diri sendiri apabila wanita asing terbabit lebih berminat mengikis harta suaminya.

Kejadian suami ditinggalkan isteri kedua dari negara jiran selepas mengikis harta diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga dan dianggap perkara biasa, namun kesedaran masyarakat negara ini masih kurang menyebabkan mereka mudah diperdaya.

Nasib sama menimpa seorang lelaki warga emas di sini yang terjebak dengan cinta palsu wanita negara jiran sehingga terpaksa berputih mata selepas kerugian hampir RM50,000 sejak mengahwini wanita berkenaan pada 2003.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Bakar, 55, berkata dia mula mengenali bekas isteri keduanya yang berusia 33 tahun itu sekitar 2002 ketika makan di sebuah gerai di Danok, Selatan Thailand.

“Selepas berkenalan beberapa bulan, saya menyuarakan hasrat berkahwin dengannya pada 2003. Dia pun bersetuju dan saya menyuruh dia memeluk Islam bersama dua anak lelakinya.

“Saya berkahwin dengan ibu tunggal beranak empat itu yang pada mulanya disangka baik dan berbudi bahasa, tetapi beberapa tahun kemudian saya sedar dia mempunyai niat tidak baik di sebalik perkahwinan itu,” katanya yang ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Mangsa yang juga seorang peniaga makanan dan pemandu teksi sambilan berkata, beberapa tahun mengharungi kehidupan berumah tangga, dia tidak mengesyaki perbuatan buruk bekas isterinya kerana dia pandai menyembunyikan tingkah lakunya.

“Pada waktu itu saya ada mengusahakan perniagaan kantin di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Sintok dan meminta isteri saya membantu menguruskannya.

“Selepas tiga tahun mengusahakan kantin itu, kontrak saya dengan IPT itu tidak disambung dan saya membuka pula kedai makanan laut dan tomyam di Jalan Kodiang bagi menambah pendapatan,” katanya.

Bakar berkata, dia menyerahkan segala urusan perniagaan itu kepada isterinya kerana terlalu yakin dengan kejujuran wanita berkenaan.

“Saya silap kerana terlalu percayakan dia sehingga dia sanggup menghabiskan duit hasil perniagaan untuk berjudi serta membeli barangan yang tidak sepatutnya.

“Bila saya tanya mana duit hasil perniagaan, dia kata hari ini tak ramai pelanggan pada hal saya tahu untung berniaga kedai makan di kawasan itu sepatutnya cukup lumayan,”
katanya.

Katanya, tembelang wanita berkenaan terbongkar selepas dia dan isterinya itu pulang ke kampung halaman bini mudanya itu di Bangkok untuk menziarahi keluarga dan dua lagi anaknya yang masih berada di sana.

“Di kampungnya dia kerap bermain judi seperti mahjong dan daun terup. Malah, saudara-maranya juga ada menceritakan perangai buruk bekas isteri saya yang gemar berfoya-foya dan baru saya sedar tertipu dengan lakonan wanita berkenaan.

“Sepanjang perkahwinan saya selama lima tahun, banyak duit saya ‘melayang’ kerana wanita ini dan dalam diam dia mengikis duit saya kira-kira RM50,000 termasuk kos sebelum kahwin dan sepanjang melayari alam rumah tangga dengan dia,”
katanya.

Bagaimanapun, pada Ogos tahun lalu, Bakar yang tidak tahan dengan perangai buruk isterinya menceraikan wanita itu.

“Dia yang menyedari saya akan berbuat demikian (menceraikannya) sempat meminjam duit along RM4,000 sebelum melarikan diri.

“Saya terkejut kerana along berjumpa saya dan meminta membayar wang yang dipinjam isteri kedua saya itu.

“Nasib baik along faham selepas saya menerangkan kedudukan sebenar. Kalau tidak saya tak tahu apa akan terjadi pada saya,”
katanya.

Berikutan itu, Bakar mengingatkan orang ramai terutama lelaki negara ini supaya tidak mudah terpengaruh dengan taktik licik wanita negara asing yang berpura-pura baik.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20090618071227/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...