Thursday, June 18, 2009

Pesong akidah

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com. my

SEPANG: Umat Islam perlu berhati-hati dengan kandungan al-Quran dan terjemahan ‘al-Furqan al-Haq’ yang dimuatkan dalam Internet kerana dikesan mengandungi kesalahan teks serta maksudnya sengaja dilakukan pendakyah Barat untuk memesongkan akidah.

Pengerusi Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ), Tan Sri Harussani Zakaria, berkata golongan itu mengubah teks al-Quran secara halus tanpa disedari umat Islam.

“Ayat dalam ‘al-Furqan al-Haq’ salah sama sekali, malah maksudnya menyimpang jauh daripada maksud asal teks al-Quran berkenaan.

“Kami bimbang ada umat Islam terpengaruh, jadi kami mahu pihak berkuasa menghalang pengeluaran seperti ini yang didapati mengeliru dan menyesatkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Teks al-Quran Bil 58/2.2009 KDN di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Pengerusi lembaga itu, Datuk Nooh Gadut; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Syeikh Abdul Aziz; Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN, Che Din Yusoh dan Pengerusi Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Syeikh Mohamad Nor Mansor.

Sementara itu, Harussani berkata, selain kesalahan ejaan dan tanda bacaan, naskah al-Quran resam Imla’ei yang tidak diterima pakai di negara ini antara yang dirampas Bahagian Kawalan Penerbitan Teks dan al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sepanjang tahun ini.

Katanya, sepanjang Januari hingga Mei tahun ini KDN merampas 8,375 pelbagai bahan al-Quran termasuk perisian digital, blok cetakan dan hiasan dinding yang diimport dari luar negara bernilai RM103,945.50.

“Bahan al-Quran dirampas mempunyai pelbagai kesalahan seperti baris, huruf, teks terlalu kotor dan tulisan resam Imla’ei yang tidak digunakan di negara ini kerana Malaysia menggunakan al-Quran resam Uthmani,” katanya.

Beliau berkata, KDN sudah melupuskan 185 tan teks dan bahan al-Quran yang menyalahi Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Mutakhir/20090618071421/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...