Thursday, June 18, 2009

‘Usah ganggu kami’

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Biarlah masalah ini saya selesaikan dengan cara yang terbaik,” kata pelakon, Shah Hassan mengenai hubungannya dengan dramatis Haleeda yang timbul selepas insiden serangan dan kekecohan di lokasi penggambaran drama pada 5 Jun lalu.

Shah, 37, berkata apa yang penting baginya sekarang ialah tumpuan terhadap kerjaya dan tidak mahu memanjangkan lagi perkara itu.

“Biarlah polis menjalankan siasatan mengenai apa yang berlaku kerana masing-masing sudah membuat laporan,” katanya yang dihubungi, semalam.

Shah bagaimanapun turut menegur tindakan individu bergelar Datuk yang menjadi pencetus kepada kekecohan itu yang disifatkan mencemar imej orang korporat.

“Saya harap perkara ini menjadi iktibar kepadanya supaya tidak mengambil tindakan melulu sehingga menjejaskan banyak pihak.

“Dia sepatutnya menjaga imej sebagai ahli korporat dan menjaga hubungan keluarganya sendiri,” katanya.

Menurutnya, di peringkat keluarganya, biarlah dia yang menguruskannya sendiri.

“Saya tidak mahu lagi perkara ini berlarutan kerana kami masing-masing sibuk dengan kerjaya,” katanya.

Sementara itu, sebuah portal hiburan melaporkan Haleeda atau nama sebenar, Halida Mazlin Badaruddin, 37, berkata hubungannya dengan Shah masih baik.

“Kami tidak ada masalah berlakon bersama atau berjumpa ketika di lokasi,” katanya.

Haleeda turut berkata, dia mahu masalah itu diselesaikan secara baik dan tidak mahu memanjangkan lagi perkara berkenaan.

Selain itu, Haleeda menegaskan mahu memberi tumpuan kepada lakonan serta memperbaiki lakonannya.

“Saya bukanlah pelakon yang belajar lakonan secara formal. Apa yang saya lakukan selama ini ialah menerusi pengamatan serta pengalaman.

“Jadi, saya kena berusaha lebih sedikit untuk belajar dan mahu lakukan yang terbaik dalam lakonan saya dengan mengamati lakonan daripada beberapa pelakon yang saya kagumi,”
katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, 5 Jun lalu, Haleeda dan Shah masing-masing membuat laporan di Balai Polis Bukit Jelutong, Shah Alam sejurus insiden serangan dan pergaduhan ketika penggambaran drama bersiri di sebuah rumah di situ.

Haleeda menjelaskan kejadian mungkin berlaku kerana meminjam kereta milik seorang pelakon lelaki tetapi disebabkan salah faham serta campur tangan pihak lain, ia bertukar serius.

Kes itu kini disiasat polis mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090617070236/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...