sfhassan@hmetro.com.my
KUALA KRAI: “Mak cik tak sangka Timbalan Perdana Menteri sudi singgah ke rumah ini..tak tahu nak cakap apa..terharu sangat, gembira pun ada,” kata Rogayah Samad, 75, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin berkunjung ke rumahnya di Kampung Sungai Sok, Manek Urai di sini, semalam.
Rogayah yang lumpuh kedua-dua kaki sejak lima tahun tidak dapat menahan sebak apabila Muhyiddin sempat meluangkan masa ke rumahnya kira-kira 20 minit ketika mengadakan lawatan sehari ke Manek Urai di sini, semalam.
Katanya, dia dan suami, Yusof Awang, 76, terkejut dengan kehadiran pemimpin nombor dua negara itu.
“Mak cik tidak pernah bermimpi rumah ini didatangi pemimpin besar. Memang sangat terharu,” katanya.
Pasangan warga emas itu hidup dalam kesusahan apabila Yusof hanya bergantung kepada hasil menoreh getah bagi menguruskan rumah tangga termasuk makan minum isterinya.
Yusof berkata, mereka menghabiskan masa tua berdua di rumah itu memandangkan tiga anaknya kini bertugas di luar iaitu di Kuala Lumpur, Terengganu dan Sabah.
Muhyiddin sempat berbual mesra bersama pasangan terbabit sambil bertanyakan mengenai masalah dihadapi terutama dalam menguruskan keperluan Rogayah.
Muhyiddin ditemani Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Beliau turut meluangkan masa bertandang ke rumah tiga lagi warga emas yang uzur di kampung terbabit serta Kampung Chuchuh Puteri sebelum menunaikan solat jumaat di Masjid Lata Rek.
Kemudian, lawatan diteruskan dengan menghadiri majlis jamuan rakyat bersama penduduk tempatan di rumah pemimpin kawasan, Che Hassan Che Ngah.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090620024435/Article/index_html
No comments:
Post a Comment