KUALA LUMPUR – Dia hanya dikenali sebagai Man tetapi kelicikannya menipu mangsa sebelum menghilangkan diri mungkin melayakkannya digelar Man Lesap.
Lelaki berusia 53 tahun itu kini menghilangkan diri selepas menipu beberapa peniaga kecil sekitar Kajang yang ingin mendapatkan stok barangan keperluan seperti beras, gula dan tepung pada harga lebih rendah daripada pembekal lain.
Ramai mangsa mendakwa rugi besar, antaranya peniaga minuman, Mohamad Tamhar Rahmat yang telah membayar RM38,000 kepada Man untuk mendapatkan stok gula.
Bayaran itu dimasukkan ke dalam akaun seorang lelaki yang didakwa kenalan Man.
“Saya pernah beli barang dua kali dengannya dan dapat barang tetapi selepas bayaran untuk pesanan ketiga dibuat, dia terus hilang,’’ katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Mohamad Tamhar tidak menyangka dua pesanan terdahulu adalah perangkap untuk dia ‘melabur’ lebih besar sebelum ditipu.
Katanya, peniaga kecil sepertinya kini semakin terdesak untuk mendapatkan stok murah bagi menghadapi persaingan hebat daripada pasar raya.
Seorang lagi mangsa, Mohd. Azam Abu Bakar, 31, pula mengenali Man Lesap akhir tahun lalu dan kemudian mereka berurusan untuk bekalan minuman tin. Namun, pesanan terakhir Mohd. Azam bernilai RM3,000 menjadikan dia kesal tak sudah apabila duit diambil tetapi barang tidak dihantar.
“Kawan-kawan saya juga ramai yang memesan barang dengan dia dan mereka juga mengalami nasib yang sama,’’ ujarnya.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0608&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm
No comments:
Post a Comment