“TAKDIR menentukan jodoh antara saya dan Amir tidak panjang, namun kami masih berkawan setelah mengenali antara satu sama lain selama sembilan tahun dan melalui suka duka bersama,” luah pengacara terkenal Sarimah Ibrahim dalam satu kenyataan yang diemelkan olehnya kepada mStar.
Dalam kenyataan itu, Sarimah, 31, berkata dia dan jejaka Australia, Amir Andrew Abdullah, 38, telah bercerai pada Disember 2008 setelah beberapa lama tinggal berasingan.
Tambahnya, segala kenyataan yang dibuat sebagai pasangan sejak 12 bulan yang lalu adalah dengan harapan mereka dapat mengatasi perbezaan antara mereka dan cuba memperbaiki kelemahan antara satu sama lain.
“Dengan berat hatinya, saya dengan ini ingin memaklumkan kepada anda semua mengenai fasa kehidupan saya yang baru.
“Selepas tiga tahun bergelar isteri, saya dan Amir mengambil keputusan untuk memilih jalan sendiri dalam kehidupan kami.
“Ini adalah keputusan yang dibuat oleh kedua-dua belah pihak atas dasar menghormati antara satu sama lain,” kata Sarimah.
Ketika menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan tentang sebab baru sekarang dia mengumumkan tentang hal itu, Sarimah berkata dia mahu menyelesaikan tugasannya sebagai pengacara Diari Akademi Fantasia (AF) 7 selain 10 episod Diari INT.
“Rasanya saya dah jawab iaitu sebab AF. Jadi, setakat ini saya tidak mahu memberikan apa-apa komen dan cukuplah sekadar dengan kenyataan media yang saya emelkan itu,” jelas Sarimah ringkas ketika dihubungi hari ini.
Berbalik kepada kenyataan media yang diemelkan oleh pelakon dan penyanyi ini, Sarimah menyusun ayatnya dengan penuh hemah.
“Tanpa disangka, sudah 13 tahun saya berada dalam dunia seni hiburan tanah air, ternyata perjalanan itu bagaikan roda.
“Terlalu banyak suka duka yang saya lalui, terima kasih atas sokongan dan dorongan yang diberikan kepada saya selama ini.
“Saya benar-benar terharu dengan teguran dan kritikan yang saya terima daripada anda selama ini untuk kebaikan saya, dan saya berharap kita dapat bekerjasama lagi dalam perjalanan kerjaya saya.
“Anda telah melihat jatuh bangun saya selama ini, dan saya benar-benar bersyukur dengan anugerah yang saya terima serta pencapaian dalam karier saya. Alhamdulillah.
“Apa yang benar-benar membuat saya terharu dan menghargai anda semua adalah kerana anda menerima saya seadanya, bukan sahaja sekadar seorang selebriti dan artis, malah lebih kepada diri saya sebagai teman yang bertugas sebagai pengacara, pelakon dan penyanyi,” tutur Sarimah.
Sebelum menutup bicaranya, wanita berdarah kacukan Melayu-Irish ini sempat menitipkan pesanan agar semua pihak memberikan peluang kepadanya untuk menyelesaikan hal ini secara peribadi.
“Saya berharap anda dapat memberi peluang kepada saya dan Amir waktu untuk menyelesaikan apa saja permasalahan ini secara peribadi.
“Dari dalam hati, saya mengucapkan jutaan terima kasih kerana memahami dan membenarkan kami ruang untuk pulih seperti sediakala.
“Sememangnya perkara ini bukan mudah untuk dihadapi. Mungkin perkara ini mengambil masa untuk kembali seperti biasa, namun saya yakin dengan bantuan pihak anda, Insya-Allah saya akan tetap kekal Sarimah Ibrahim seperti yang anda semua kenali.
“Semoga Allah merahmati anda semua. Terima kasih,” akhiri Sarimah menutup bicara.
Sarimah dan Amir diijabkabulkan di Masjid Dublin, Ireland pada 13 Mei 2006.
http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/6/7/mstar_hiburan/20090607192810&sec=mstar_hiburan
No comments:
Post a Comment