Sunday, July 19, 2009

Belanja kenduri ditanggung

KUALA LUMPUR: Wang tunai RM13,000, sebuah motosikal dan tempat tinggal di rumah teres adalah antara ganjaran yang diterima seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Ayub, 40, hasil dua kali dia menjadi ‘pak sanggup’.

“Kerja itu saya lakukan 10 tahun lalu. Semua kes wanita mengandung kerana terlanjur. Yang menawarkan bukan orang lain, tetapi keluarga wanita itu sendiri,” katanya kepada Metro Ahad.


Wanita pertama yang dikahwini Ayub adalah anak tunggal di dalam sebuah keluarga.

“Dia ada kerjaya tetapi terlanjur dengan teman lelakinya. Bagi mengelak keluarga malu dan dibuang kerja, dia perlu berkahwin dan kononnya sayalah teman lelakinya,” katanya.

Menurutnya, ahli keluarga wanita itu memberi cadangan supaya mencari lelaki yang sanggup berkahwin dengan wanita terbabit.

“Biasalah... duduk di kampung, kerja saya hanya melepak dan kebetulan seorang ahli keluarga wanita itu rakan saya. Apabila dia bercerita mengenai cadangan itu, saya tertarik dan tanpa menunggu lama saya berjumpa bapa wanita itu,” katanya.

Dia sanggup menikahi wanita itu yang sudah hamil lima bulan dengan syarat diberi habuan.

“Bapa wanita itu memberitahu dia memang sudah menyediakan ganjaran kepada sesiapa yang sanggup menikahi anaknya itu. Ganjaran diberi adalah motosikal RXZ dan wang RM5,000,” katanya.

Sebaik bernikah dengan wanita itu, dia duduk serumah dengan keluarga mentuanya.

Selepas dua minggu, Ayub berkata, dia mula bosan kerana asyik duduk di rumah tanpa sebarang hiburan.

“Saya bukan jenis orang baik kerana setiap malam saya perlukan hiburan. Saya gemar ke pub dan dangdut kemudian minum sehingga mabuk. Dua minggu selepas berkahwin, saya ceraikan wanita itu,” katanya.

Menurut Ayub, keluarga wanita itu mulanya marah tetapi lama kelamaan mereka sedar tidak boleh berbuat apa-apa.

“Saya hanya disuruh mengahwini anaknya, tetapi tidak pula disuruh menjaganya. Mereka hanya beritahu, kalau boleh hiduplah seperti suami isteri lain tapi saya kata, saya tak dapat berbuat demikian kerana masih muda dan belum puas berseronok,” katanya.

Selepas enam bulan, Ayub didatangi seseorang yang tidak dikenali yang mahukan dia menjadi ‘pak sanggup’ untuk seorang wanita.

“Selepas kali pertama menjadi ‘pak sanggup’, nama saya ‘naik’ dan memang saya beritahu rakan saya mahu menjadi ‘pak sanggup’ lagi.

“Ketika itu saya berhijrah ke kampung lain. Entah bagaimana ada yang dapat mengesan di mana saya berada dan ada pula tawaran menjadi ‘pak sanggup’ lagi,”
katanya.

Wanita yang hendak dikahwininya difahamkan lari rumah mengikut kekasih tetapi berjaya ditemui semula keluarganya.

“Apabila pulang ke pangkuan keluarga, wanita itu didapati mengandung dua bulan. Bimbang malu, keluarganya mencari lelaki yang sanggup mengahwini anak mereka.

“Saya ditawarkan seorang rakan untuk menjadi ‘pak sanggup’ kepada keluarga itu. Keluarga itu tawarkan rumah teres, makan tanggung, wang tunai RM8,000 dan kenduri kahwin, termasuk hantaran ditanggung sepenuhnya,”
katanya.

Kata Ayub, dia menerima saja tawaran berkenaan kerana ketika itu mengalami masalah kewangan selepas kebanyakan wangnya dihabiskan untuk berhibur dan berjudi.

“Kali ini saya bertahan sehingga sebulan sebelum melarikan diri. Keluarga wanita itu dapat mengesan saya, tetapi saya beritahu, saya mahu hidup bebas.

“Keluarga wanita itu berjanji memenuhi apa saja permintaan saya asalkan saya pergi selepas anak mereka bersalin. Saya akur dan saya bertahan lebih setahun dalam keadaan saya bebas berhibur,”
katanya yang sudah berhijrah ke Kuala Lumpur.

Dia masih seperti dulu, suka berhibur dan mabuk, tetapi tidak lagi menjadi ‘pak sanggup’.

“Bukan saya tidak mahu tetapi tiada tawaran. Mungkin juga saya sudah tua,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...