2010/04/28
KUALA LUMPUR: Sindiket warga Afrika atau ‘Awang Hitam’ kini bersekongkol dengan lelaki Inggeris bagi memperdayakan wanita apabila taktik penipuan mereka semakin diketahui ramai.
Dalam kes terbaru, seorang wanita aktivis sebuah pertubuhan kebajikan dari negara jiran tidak menyangka lelaki Inggeris dikenalinya melalui laman sosial adalah konco sindiket warga Afrika apatah lagi lelaki terbabit sanggup bertemu empat mata dengannya bagi membuktikan kebenaran yang dia bukanlah warga Afrika.
Selain itu, lelaki terbabit yang dikenali sebagai Harry dengan murah hati turut berjanji mendermakan AS$2juta (RM6.3 juta) semata-mata bagi membantu mangsa menguruskan pertubuhan kebajikan yang terdesak memerlukan dana.
Lebih menyedihkan, mangsa berusia 52 tahun itu turut diperdayakan untuk datang ke negara ini bagi menguruskan wang derma terbabit yang didakwa kekasihnya itu disekat pihak Bank Negara.
Menurut sumber, selepas beberapa bulan berkenalan, suspek datang ke tempatnya dengan alasan untuk melihat sendiri rumah kebajikan diuruskan untuk membantu mangsa yang terbabit dengan bencana alam beberapa tahun lalu.
“Mangsa memberitahu dana pertubuhan itu terlalu sedikit berbanding perbelanjaan diperlukan untuk memulihkan semula kawasan terbabit terutama sekali membantu persekolahan kanak-kanak yang terjejas berikutan bencana dihadapi mereka.
Dengan nada simpati, suspek dikenali sebagai Harry memberitahu dia akan menyalurkan bantuan kewangan dengan segera dan berjanji akan menderma ke dalam akaun mangsa apabila dia pulang ke negaranya.
Kira-kira seminggu selepas suspek pulang, mangsa dimaklumkan wang RM6.3 juta terbabit sudah dimasukkan ke akaunnya namun apabila mangsa mendakwa belum menerimanya, bermulalah episod penipuan mengakibatkan mangsa kerugian hampir RM160,000.
“Pelbagai taktik digunakan sindiket itu termasuk melakukan penyamaran kononnya dari pihak kedutaan negara terbabit bagi meminta mangsa menjelaskan beberapa pembayaran seperti bayaran cukai pelepasan sebanyak AS$32,000 (RM101,000).
“Kemuncaknya apabila mangsa diarahkan datang ke negara ini kononnya wang terbabit terpaksa dipindahkan ke akaun seorang lagi konco mereka atas sebab keselamatan namun disekat Bank Negara menyebabkan mangsa sanggup datang untuk melakukan rundingan,” katanya.
Mangsa yang hanya menurut arahan sindiket itu turut membuat beberapa bayaran tambahan lain kononnya sebagai bayaran ‘duit kopi’ kepada pegawai di Kementerian Kewangan yang dikenali sebagai Datuk Mustapa sebanyak RM30,000.
Namun, selepas seminggu di negara ini dan dimaklumkan kenalannya yang dia diperdayakan sindiket warga Afrika, mangsa membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Izany Abd Ghany berkata, sindiket itu menggunakan lelaki Inggeris bagi memancing mangsa sebelum memperdayakannya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Komplothitamputih/Article
No comments:
Post a Comment