Wednesday, April 28, 2010

Mak janda melopong

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee

2010/04/28

KUALA LUMPUR: Gara-gara terpesona `mulut manis’ seorang jejaka Pak Arab, seorang janda beranak empat akhirnya berputih mata apabila kerugian RM93,000 selepas wangnya yang dilaburkan dalam perniagaan import-eksport komputer riba terpakai, lesap dilarikan suspek.

Tidak menyangka bakal diperdayakan, wanita itu sanggup menjual rumahnya bagi mendapatkan modal untuk membantu lelaki terbabit menjalankan perniagaan yang dijanjikan keuntungan berlipat ganda.


Menurut sumber, mangsa berusia 53 tahun mengenali suspek yang mendakwa seorang ahli perniagaan import eksport dan menguruskan perniagaannya di negara ini, kira-kira setahun lalu.


“Tertarik dengan kejayaan suspek yang mempunyai beberapa rangkaian perniagaan, mangsa yang juga pengusaha syarikat pelancongan ditawarkan menjadi rakan kongsi untuk mengimport satu kontena komputer riba terpakai dari Amerika Syarikat.


“Suspek mendakwa isterinya berada di negara terbabit kerana menjalankan perniagaan mereka di sana dan lelaki itu meyakinkan mangsa barangan berkenaan perlu dibeli dari Amerika memandangkan harganya jauh lebih rendah, selain berjanji akan membantunya memasarkan produk itu di Arab Saudi,” katanya.


Mangsa yang percaya dengan keuntungan yang dijanjikan serta perwatakan alim suspek, mengambil keputusan menjual rumahnya bagi mendapatkan modal.


“Mangsa diperdayakan suspek dengan menunjukkan perniagaan yang diusahakannya di negara ini sedangkan perniagaan seperti restoran, permaidani, perabot dan sebagainya sebenarnya milik usahawan Arab lain.


“Setelah mendapatkan wang melalui penjualan rumahnya di kampung, mangsa membuat pembayaran terus kepada isteri suspek yang berada di Amerika Syarikat sebanyak RM93,000,” katanya.


Mangsa kemudian diberikan janji palsu kononnya kontena terbabit akan tiba di negara ini sementara mendapatkan pasaran di Arab Saudi, namun setelah dua bulan menunggu, kontena dijanjikan tidak sampai-sampai.

“Mangsa cuba mendapatkan penjelasan, namun diberikan pelbagai alasan kononnya kontena terbabit mengalami masalah dokumentasi dengan pihak kastam negara itu.


“Akibat sering didesak, suspek gagal dihubungi menyebabkan mangsa membuat laporan polis awal bulan lalu bagi menjejaki suspek,”
katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abd Ghany berkata, susulan laporan dibuat, suspek dicekup sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.


Suspek berusia 31 tahun ditahan Ahad lalu di sekitar Jalan Bukit Bintang di sini, dan kini direman 14 hari mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Makjandamelopong/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...