Thursday, April 22, 2010

Lakonan anak diculik

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/04/21

KUALA LUMPUR: Hanya kerana percaya dengan lakonan seolah-olah anak lelakinya diseksa separuh mati oleh kumpulan samseng, menyebabkan seorang ibu malang akhirnya menjadi mangsa penipuan ugutan palsu dengan membayar wang tebusan RM12,500 bagi menyelamatkan anak kesayangannya.

Siasatan polis percaya, kumpulan penjenayah licik yang kerap melakukan penipuan melalui telefon sengaja berlakon untuk membuat mangsa panik sebelum diugut membayar wang tebusan secepat mungkin bagi memastikan nyawa mereka selamat.


Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad berkata, mangsa yang berusia 54 tahun berkenaan sebelum ini menerima panggilan daripada lelaki tidak dikenali yang mendakwa mengenali anaknya, pagi semalam.


Menurutnya, lelaki tidak dikenali itu mendakwa anak mangsa diculik dan dilarikan kumpulan samseng berkenaan berikutan kegagalannya membayar hutang selepas menjadi penjamin.


“Dakwaan lelaki terbabit bagaimanapun tidak dipercayai oleh wanita itu. Namun mangsa mula terpedaya selepas sengaja diperdengarkan bunyi lelaki menjerit dan meraung seolah-olah sedang dipukul teruk.


“Suspek sengaja menakut-nakutkan mangsa kononnya anaknya berada di dalam genggaman mereka sedang diseksa separuh mati kerana bertanggungjawab terhadap hutang berkenaan,” katanya. Menurutnya, suspek kemudian mengugut wanita terbabit supaya menyediakan wang tunai RM60,000 sekiranya mahu anaknya dibebaskan.


“Bagaimanapun, mangsa memberitahu tidak menyimpan wang sebanyak itu sebelum meminta suspek menurunkan jumlah tuntutan wang diminta. Akhirnya suspek bersetuju dengan hanya meminta mangsa membayar RM12,500 melalui akuan bank diberikan.


“Difahamkan, mangsa yang tidak memiliki wang kemudian menghubungi saudara terdekat untuk meminjam wang sebelum ke bank untuk memasukkan wang diminta,” katanya.


Menurutnya, wanita terbabit yang selesai memasukkan wang ke dalam akaun bank seperti diarahkan bagaimanapun terkejut apabila mendapati anaknya ada di rumahnya di Jalan Ipoh, sebaik dia pulang dari bank.

“Lebih mengejutkannya apabila anak lelakinya itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan menafikan dia diculik. Ketika itulah, mangsa baru menyedari dia ditipu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Sentul,” katanya.


Menurutnya, orang ramai yang menerima panggilan telefon dan ugutan seumpama itu tidak seharusnya cepat panik dan perlu menghubungi polis bagi meminta bantuan.


“Kes seumpama ini sudah kerap kali dilaporkan berlaku dan sindiket penculikan palsu ini sebalik licik dan bijak menipu mangsa,” katanya.


Kes terbaru itu hampir mengulangi kejadian sama apabila seorang wanita yang juga penolong pengurus hampir diperdaya apabila menerima panggilan telefon yang mendakwa anaknya diculik.

Dalam kejadian itu, mangsa, Hau Choo kiat, 49, turut terkejut apabila mendengar bunyi laungan dan tangisan pilu seorang kanak-kanak yang seolah-olah dipukul teruk.


Suspek dikatakan mengugut mangsa supaya membayar wang tebusan RM50,000 dalam tempoh masa dua jam jika tidak mahu anaknya itu dibunuh. Bagaimanapun wanita terbabit mula mengesyaki ia penipuan berikutan anaknya berada di Australia.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lakonananakdiculik/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...