Thursday, April 22, 2010

Mereka hanya tahu mencemuh

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
2010/04/21


MASJID TANAH : “Saya sedih apabila orang kampung mendakwa kami sekeluarga makan duit haram dengan menerima bantuan daripada pertubuhan kebajikan bukan Islam, sedangkan jabatan kebajikan kerajaan tak datang menjenguk mahupun menghulurkan bantuan,” kata seorang suri rumah, Siti Hawa Hamid, 43, yang menyewa di sebuah rumah lama di Jalan Ghaffar Baba, dekat sini.

Dia mendakwa menjadi mangsa herdikan penduduk kampung apabila mengetahui keluarganya menerima bantuan daripada badan kebajikan Truchi Malacca (Buddhist).


“Bila orang kampung tahu, mereka marahkan saya dan mempersoal mengapa sanggup terima bantuan daripada badan kebajikan bukan Islam yang disifatkan sebagai haram.


“Saya bertanya, jika benar mengapa orang kampung mahupun pihak tertentu tidak datang menolong saya,”
katanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini, malam semalam.


Menceritakan kejadian itu, Siti Hawa berkata, dia menerima bantuan daripada pertubuhan itu selepas melahirkan anak bongsunya di Hospital Melaka, dua tahun lalu.


“Sebaik keluar dari hospital, badan kebajikan Truchi Malacca datang menghulurkan bantuan bulanan sebanyak RM500 sebulan untuk bulan pertama sejak Julai 2008 dan seterusnya RM250 sebulan, namun kini selepas jumlah itu dipotong kepada hanya RM200 sebulan.


“Oleh kerana kos sara hidup tinggi, saya dan suami serta lima anak bersyukur menerima bantuan ini demi meneruskan kehidupan seharian walaupun mendapat tentangan masyarakat setempat,” katanya.


Sementara itu, suami Siti Hawa, Roslan Othman, 42, berkata berikutan masalah itu, isterinya menghadapi tekanan perasaan teruk dan kini mendapat rawatan susulan di Jabatan Psikiatri, Hospital Melaka setiap bulan.


“Selepas mendengar berita itu fikiran isteri saya bertambah buntu kerana tidak mampu berulang alik ke hospital. Ketika itu saya pula tidak mampu bekerja kerana patah tangan kiri selepas terbabit kemalangan jalan raya.

“Saya pernah maklumkan keadaan keluarga saya ini kepada ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tempat kami tinggal. Saya difahamkan, mereka sedia maklum dengan keadaan saya sehinggalah isteri saya melahirkan anak tak cukup bulan ketika itu beratnya hanya 1.1 kilogram saja.


“Namun, mereka tidak pernah datang ke rumahnya walaupun sekali dan saya rasa amat terkilan kerana seolah-olah dipinggirkan,”
katanya.


Beliau kini bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Ghaffar Baba, dekat sini, berharap ada sinar harapan dalam kehidupan keluarganya di sini.


Sementara itu, Pengerusi JKKK Masjid Tanah, Ishak Husin berkata, beliau tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk mendapatkan bantuan kebajikan daripada keluarga terbabit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Merekahanyatahumencemuh/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...