Thursday, April 22, 2010

Tangisan isteri

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
2010/04/22

SUBANG JAYA: Selepas bersara sebagai anggota tentera, kerjanya hampir setiap hari bermain mesin judi ‘jackpot’.

Kemuncaknya, tahi judi berusia 48 tahun itu menghabiskan sebahagian wang pendahuluan pembelian rumah sebanyak RM30,000 dalam tempoh hanya seminggu untuk melampiaskan gian.


Akibat perlakuannya melampau, isterinya berusia 40-an yang tidak tahan, bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa supaya memberkas suaminya itu dan mendesak menyerbu premis judi siber haram dikunjungi suaminya.


Mendedahkan barah sosial yang semakin melanda masyarakat itu, Pengarah Penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohd Zulkurnain Che Ali, berkata dia dikunjungi isteri askar pencen itu di pejabatnya pada minggu lalu.


“Wanita yang mempunyai empat cahaya mata itu datang ke pejabat saya mengadu hobi buruk suaminya. Dia menangis teresak-esak kerana mendakwa suaminya tidak mempedulikan lagi keluarga gara-gara gian bermain mesin judi.


“Lebih teruk suri rumah sepenuh masa itu mendakwa suaminya mengeluarkan sebahagian wang sagu hati persaraan tentera sebanyak RM30,000 sebelum bertindak gila ‘menyerahkan’ kepada tauke judi.


“Wanita itu merayu supaya tempat suaminya berjudi diserbu. Malah, dia juga meminta suaminya turut diberkas jika itu boleh membawa kembali suami ke pangkal jalan,” katanya.


Bertindak di atas maklumat berkenaan serta risikan, Mohd Zulkarnain berkata, sepasukan 30 anggota penguat kuasa MPSJ termasuk pegawai menyerbu 12 premis yang menjalankan mesin judi siber dan ‘jackpot’ di sekitar Puchong, semalam.


Menurutnya, dalam operasi besar-besaran membanteras premis perjudian siber bermula kira-kira 12 tengah hari sebelum berakhir tiga jam kemudian itu sebanyak 279 mesin judi dirampas.

Katanya, operasi yang turut dipantau pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu gagal menahan tauke judi serta dalang yang menjalankan kegiatan haram itu kerana dipercayai maklumat berkenaan ‘bocor’ serta diketahui tonto.


“Semua premis yang diserbu itu dikunci dari dalam. Apabila kami memecahkan pintu premis, kami dapati tiada sesiapa berada di dalamnya termasuk pelanggan atau pekerja premis judi haram itu.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Undang-undang Kecil Pusat Siber MPSJ 2007 dan sabit kesalahan boleh dikompaun sebanyak RM1,000. Premis yang disita pula tidak dibenarkan beroperasi untuk tempoh tertentu,”
katanya.


“Sebenarnya untuk tahun ini MPSJ sudah kerap menjalankan serbuan seumpamanya mengikut pelan induk penguatkuasaan membanteras judi dan 2,500 mesin judi dirampas,” katanya.

Menurutnya, walaupun ada segelintir pihak memperlekehkan usaha itu, pihaknya akan terus melakukan operasi membanteras kegiatan judi siber haram.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tangisanisteri/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...