mriduwan@hmetro.com.my
2010/05/10
MELAKA: Akibat panahan cinta dan disogokkan dengan kemewahan, seorang remaja menjadi buta hati hingga terlalu setia dan taksub kepada teman lelakinya biarpun sering dipukul lelaki terbabit termasuk disepak sesuka hati hingga mengalami kecederaan teruk.
Kemuncaknya, gadis berusia 17 terbabit yang dikenali sebagai ‘Lisa’ (bukan nama sebenar) bertindak nekad membunuh diri dengan menelan puluhan pil, tetapi bernasib baik apabila doktor menyelamatk annya selepas ditemui dalam keadaan separuh nyawa oleh rakannya di dalam bilik rumah sewa mereka di Bachang, 28 April lalu.
Menceritakan semula kejadian mengejutkan itu, rakan mangsa dikenali sebagai El berusia 22 tahun, berkata dia difahamkan mangsa baru berkenalan dengan teman lelakinya sebulan lalu sebelum bersetuju keluar bersama.
Katanya, sejak awal perkenalan, dia melihat tiada keserasian antara mereka kerana masing-masing berbeza tingkah laku.
“Lisa ini agak degil orangnya manakala teman lelakinya kuat cemburu. Sebetulnya kami baru kenal kira-kira dua minggu melalui bekas teman lelaki saya yang mengenalinya melalui laman web.
“Sejak itu, kami sering keluar bersama termasuk lepak di pusat hiburan dan karaoke di pusat bandar mahupun Ayer Keroh.
“Malam pertama keluar bersama, saya lihat beberapa kali Lisa bertengkar dengan teman lelakinya, namun teman lelakinya pandai memujuk apabila memberikan wang untuk kegunaannya,” katanya.
El berkata, Lisa sebelum ini pernah menumpang di rumah kakaknya, namun melarikan diri kerana tidak sanggup menyara mereka.
“Dia menyewa bersama teman lelakinya di Ayer Keroh dan baru seminggu saya dapat tahu mereka bergaduh. Lisa sendiri telefon saya kira-kira jam 10 malam sambil menangis dan meminta segera menjenguknya.
“Saya lihat dia mengalami lebam pada mata kiri dan mengadu ditendang kekasihnya di kepala, dada dan perut.
“Kerana kasihan saya ajak duduk bersama dan lebih pelik teman lelakinya berada di rumah ketika itu beriya-iya merayu tidak ditinggalkan kerana menyesal dengan perbuatannya dan Lisa seperti memaafkannya,” katanya.
Katanya, dia membawa Lisa ke Hospital Melaka (HM) untuk rawatan dan doktor mengarahkan satu laporan polis dibuat.
“Dua hari Lisa ditahan di hospital sebelum saya bawanya balik ke rumah sewa di Bachang. Saya berpesan kepada rakan serumah melihat Lisa di bilik kerana saya keluar menghantar rakan.
“Ketika itu, saya lihat dia masih lagi berbalas sistem pesanan ringkas (SMS) dengan teman lelakinya itu, namun keadaannya dilihat agak kusut,” katanya.
El berkata, rakan serumah terkejut apabila mendapati Lisa cuba membunuh diri dengan menelan semua ubat diberikan doktor dan menelefonnya untuk memberitahu perkara berkenaan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Butahatikeranacinta/Article
No comments:
Post a Comment