KUALA LUMPUR: Tidak seperti ibu lain yang dapat meraikan sambutan Hari Ibu bersama anak masing-masing, Elis Syuhaila Mokhtar, 35, masih lagi ternanti-nanti kepulangan semula anaknya, Ferris Mokhtar Van De Ven, 7, yang dilarikan bekas suaminya 15 bulan lalu.
Dua kali Hari Ibu berlalu tanpa Ferris di sisinya menyebabkan tiada sambutan khusus diadakan kerana baginya sudah tidak bererti lagi. “Cuma saya masih teringatkan kenangan ketika Ferris hasilkan kad ucapan dan cakera padat yang dibuat di sekolahnya untuk dihadiahkan kepada saya sempena Hari Ibu. “Kini, sedikit sebanyak anak saudara saya mengubati sedikit kerinduan kepada Ferris. Mereka banyak menghiburkan saya tambahan pula saya dipanggil Umi,” katanya.
Kisah perpisahan Elis Syuhaila dan Ferris Mokhtar dilaporkan media hingga mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang meminta bantuan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail melihat kaedah perundangan bersesuaian tindakan membawa pulang semula kanak-kanak terbabit.
Masalah itu timbul dipercayai berpunca pergolakan rumah tangga Frank Van De Ven dan Elis yang menyebabkan wanita terbabit tidak membawa anak mereka pulang ke Belgium, selepas kembali ke negara ini pada Oktober 2007. Ferris dilahirkan di Subang Jaya, Selangor diambil dari jagaan ibunya dan dilarikan bapa kandungnya, Frank, warga Belanda ke Belgium pada 3 Mac 2009. Menurut Elis Syuhaila, sejak berpisah dengan anaknya dia tidak meraikan sebarang sambutan perayaan kerana dirasakan hambar tanpa Ferris disisinya.
Katanya, bukan hanya sambutan seperti Hari Ibu, tetapi Aidilfitri juga terasa tawar dirayakan selepas ketiadaan Ferris yang sebelumnya banyak menceriakan sebarang perayaan yang disambut.
“Ketiadaan Ferris bukan dirasai saya sebagai ibunya, tetapi juga ayah saya yang kini uzur kerana sakit tua. Sejak kebelakangan ini dia kerap bertanyakan keadaan cucunya itu menyebabkan saya terharu dan berharap sangat agar dapat membawa pulang semula anak saya itu ke pangkuan kami semula.
“Seluruh keluarga menantikan kepulangannya itu, telatah ketika kami masih bersamanya masih bermain di ingatan kami,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DoaHariIbutanpaanakkesayangan/Article
No comments:
Post a Comment