Monday, May 10, 2010

Rejam madu

2010/05/10

KOTA BHARU: Pelik apabila seorang isteri muda tergamak menyerang madunya dengan membaling batu hingga menyebabkan kecederaan di kaki hanya disebabkan cemburu buta.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi kelmarin, mangsa berusia 42 tahun baru saja mengetahui dia bermadu dengan penyerangnya iaitu seorang wanita berusia 25 tahun berasal dari Pasir Mas, tetapi tidak mengetahui punca dirinya diserang.


Mangsa yang dikenali sebagai Zah berkata, secara tiba-tiba dia dikejutkan dengan kehadiran wanita itu di luar rumah ketika sedang nyenyak tidur bersama dua anak.


Katanya, dia terdengar suara seorang wanita memekik seperti dirasuk sebelum bergegas keluar rumah.


“Sebaik keluar, saya dapati seorang wanita menendang dan mematahkan cermin kereta yang diletakkan di dalam kawasan pagar rumah yang tidak berkunci.


“Dia turut membaling batu ke arah saya sehingga terkena kaki kiri,”
dakwanya.


Katanya, sebelum itu dia pernah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbau ugutan dan lucah yang dihantar oleh wanita itu.


“Dia mendiamkan diri saja dan tidak menyangka pula wanita terbabit bertindak menyerang,” katanya.


Difahamkan, wanita terbabit cuba bertindak agresif bagaimanapun berjaya dihalang suaminya yang turut berada di tempat kejadian.

Susulan kejadian itu, Zah berkata, dia membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu kira-kira jam 10 pagi selepas kejadian.


Bagaimanapun, katanya, tidak lama kemudian dia turut mendapat satu lagi SMS daripada wanita terbabit yang mengugutnya akan melakukan lagi perbuatan sama kerana mendakwa masih belum berpuas hati.


“Susulan ugutan terbabit, saya membuat satu lagi laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kota Bharu pada jam 4 petang hari sama kerana bimbang berlaku apa-apa ke atas diri dan keluarga saya.


“Setakat ini, saya masih tidak mengetahui motif serangan ini dan bimbang sekiranya dia cuba menyerang atau mengupah sesiapa untuk mencederakan saya sekeluarga,”
katanya. Sementara itu, jurucakap Balai Polis Kota Bharu ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes itu masih disiasat.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rejammadu/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...