Monday, May 10, 2010

Pengunjung lari panik

2010/05/10

GEORGETOWN: “Saya ingatkan mengalami tekanan darah tinggi semula apabila kepala seperti berpusing dan pening seketika,” kata pekerja pusat beli-belah Prangin Mall, Noor Asmarane Mawi, di sini, yang merasai gegaran akibat gempa bumi kuat berukuran 7.1 pada skala Richter di Utara Sumatera, Indonesia, petang semalam.

Gegaran kira-kira dua minit akibat gempa bumi di negara jiran itu mengejutkan orang ramai di kawasan pulau dan Seberang Perai terutama mereka yang berada di bangunan tinggi.


Noor Asmarne, 33, berkata, ketika kejadian dia sedang menulis laporan kerja sebelum kepalanya berpusing seketika, tetapi mendiamkan diri kerana menyangka mengalami tekanan darah tinggi, namun apabila melihat ramai pengunjung pusat beli-belah itu lari ketakutan, baru dia menyedari ia adalah gegaran.


Katanya, pengunjung lari dalam ketakutan dan sekelip mata, kebanyakan mereka berada di luar serta memandang ke arah bangunan lapan tingkat itu.


“Semua panik mula bercakap mengenai bencana tsunami pada 2004 selepas merasai gegaran skala sederhana itu.


“Saya hanya mengetahui cerita sebenar selepas menghubungi balai polis berdekatan yang memaklumkan mengenai kejadian itu dan saya bersyukur tiada amaran tsunami dikeluarkan,”
katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Katanya, barang di kedai tingkat empat pusat beli-belah itu jatuh akibat gegaran dan keadaan tenang semula 30 minit kemudian.

Sementara itu, Perunding Kewangan, Bobby Tan Teong Soon, 62, berkata, badannya seperti bergoyang kuat ketika makan bersama keluarga di Jalan Transfer dan bergegas keluar dari kedai selepas merasakan gegaran.


itu berlanjutan hampir dua minit.


“Ini pengalaman pertama saya merasakan gegaran akibat gempa bumi dan masih trauma hingga sekarang.

“Ketika berdiri di luar kedai, saya hanya mampu berdoa gempa bumi tidak berlaku di sini,” katanya.


Sementara itu, jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, gempa bumi kuat berukuran 7.1 skala Richter menggegarkan Utara Sumatera pada jam 1.59 petang semalam dan berlaku di pusat gempa kira-kira 502 kilometer barat daya Bayan Lepas, Pulau Pinang dan barat daya Meulaboh, Indonesia.


Katanya, antara negeri yang merasai gegaran dua minit itu ialah Pulau Pinang, Perlis, Lembah Klang, Kedah dan Langkawi, tetapi tiada ancaman tsunami dilaporkan.


"Empat kawasan di Pulau Pinang yang merasai gegaran ialah Seberang Jaya, Batu Feringgi, Sungai Dua dan Batu Kawan," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pengunjunglaripanik/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...