Saturday, May 22, 2010

Disisih keluarga

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
2010/05/22

MASJID TANAH: Sepasang suami isteri dari Kampung Bukit Apit, Ayer Limau, dekat sini, yang tidak dikurniakan cahaya mata terpaksa membuat kerja kampung dan mengambil tempahan daripada rakan terdekat bagi meneruskan kehidupan.

Disebabkan kedaifan mereka, Agus Patangga, 50, dan Rohani Abd Latif, 49, terpaksa menjalani kehidupan berdua sendirian kerana kurang mendapat perhatian daripada masyarakat setempat dan lebih malang apabila turut disisihkan keluarga mereka.


Lebih menyayat hati, isterinya pula lumpuh separuh badan akibat serangan angin ahmar empat tahun lalu dan tidak mampu membuat kerja rumah dan terlantar sejak kejadian itu tanpa dapat membuat apa-apa untuk membantu suaminya mencari rezeki seperti sebelum ini.


Agus berkata, sejak isterinya diserang angin ahmar, dia terpaksa membuat kerja di kawasan berdekatan kerana tidak sanggup meninggalkan isterinya berjauhan berikutan bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku.


“Keluarga sebelah isteri tidak berapa suka dengan saya kerana saya warga Indonesia yang memegang taraf penduduk tetap (PR) termasuk memandang hina kepada kami terutama sejak isteri menderita akibat angin ahmar, mereka seolah-olah menjauhkan diri.


“Saya rasa terkilan sebab keadaan isteri sebegini masih tidak mendapat perhatian daripada masyarakat, malah permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pun saya usaha sendiri.


“Pada tahun lalu, wakil rakyat ada juga datang bagi duit raya, tetapi pemimpin tempatan tidak pernah datang pun, malah bila ada mesyuarat dekat balai raya depan rumah saya pun mereka tidak singgah, saya bukan nak duit mereka tetapi cukup sekadar perhatian,” katanya, di sini, semalam.


Menurutnya, pihak berkaitan pernah menyalurkan bantuan kerusi roda kepada isterinya untuk digunakan selagi ada hayat, tetapi mereka meminta ia dipulangkan apabila tidak digunakan.


Katanya, dia dan isterinya tidak kisah dengan tanggapan orang ramai kerana mereka beranggapan perlu tabah melalui pelbagai dugaan termasuk hinaan mahupun cercaan dengan pendapatan bulanan sekadar RM350.

“Apa yang saya lakukan dengan pendapatan tidak menentu adalah demi mencari sesuap nasi bagi menyara kehidupan kami berdua setiap hari walaupun bantuan yang diterima JKM Daerah setiap bulan masih tidak mencukupi.


“Saya bersyukur dengan bantuan sara hidup diberikan oleh JKM sebanyak RM190 sebulan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Disisihkeluarga/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...