Saturday, May 22, 2010

Rindu terubat

Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my
2010/05/22

KUALA LUMPUR: Walaupun hanya dua jam, seorang ibu reda selepas penantiannya selama setahun setengah berakhir apabila berjumpa dengan anak perempuan berusia empat tahun yang sebelum ini di bawah jagaan suami selepas mereka berpisah.

Audrey Amira Goon Abdullah, 33, dapat berjumpa dengan Alya Natasha selepas Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, mengeluarkan perintah terhadap suaminya, Abien Rosmon Hamid, 34, membawa kanak-kanak itu ke mahkamah, semalam.


Sebelum ini, mahkamah yang sama mengeluarkan waran tangkap terhadap Abien selepas lelaki itu yang juga pegawai eksekutif teknologi maklumat, dua kali gagal hadir dalam prosiding membabitkan hak jagaan anak mereka.


Mahkamah yang sama juga pada masa itu meletakkan nama Abien ke dalam senarai hitam bagi membolehkan polis membuat tangkapan sekiranya ditemui berikutan Audrey sendiri gagal menemui lelaki dan anaknya itu.


Dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Mohd Radzi Abdul Latif, semalam, peguam syarie Dorina Abdullah yang mewakili Audrey Amira memohon anak guamnya diberi peluang berjumpa dengan Alya secara bersendirian tanpa ditemani sesiapa.


Hakim Syarie Mohd Radzi memberi peluang kepada Audrey Amira berjumpa dengan Alya selama dua jam dan menasihati Abien bersikap budiman dan adil bagi membolehkan pertemuan dua beranak itu berjalan lancar.


“Bapa mana tidak sayang anak, tetapi dia ibu yang mengandung dan melahirkan anak itu. Berilah peluang kepada ibu seminggu atau dua, kamu boleh pergi sendiri ke rumah Audrey Amira dan lihat sendiri jika benar dia ada cubaan merosakkan akidah anak itu, kemukakan bukti kepada mahkamah.


“Syurga anak di bawah tapak kaki ibu. Berbaik sangka dan berilah kesempatan kepada mereka berdua. Kamu jangan kacau pula pertemuan mereka,”
katanya.


Sementara itu, peguam syarie Mohd Nor Md Din yang mewakili Abien memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mahkamah Rayuan Syariah mengeluarkan perintah bahawa Mahkamah Tinggi Syariah, terkhilaf dalam keputusan menyerahkan hak jagaan anak kepada Audrey Amira.

Mohd Nor berkata, pihaknya sebelum ini mengemukakan permohonan semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang mengeluarkan hak jagaan anak diberikan kepada Audrey Amira.

Kes hak jagaan anak itu diteruskan melalui Majlis Sulh. Bagaimanapun, jika tidak dapat sebarang penyelesaian, perbicaraan akan dijalankan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rinduterubat/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...