Saturday, May 22, 2010

Lelaki bantai isteri hamil

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my
2010/05/22

ALOR SETAR: Sungguh kejam apabila seorang anggota polis naik minyak dan membelasah isterinya yang sarat mengandung dipercayai tujuh bulan dalam kejadian di kedai makan di Simpang Empat, di sini, Isnin lalu.

Difahamkan wanita berusia 26 tahun itu juga anggota polis cedera teruk selepas dipukul suaminya berusia 20-an. Kejadian berlaku selepas wanita berkenaan berang melihat suaminya berjalan dengan wanita lain.


Menurut sumber, pasangan suami isteri itu dipercayai beberapa bulan tinggal berasingan kerana kerana masalah rumah tangga mereka.


Katanya, mangsa terserempak dengan suaminya bersama wanita lain di kedai makan di Simpang Empat, lalu berlaku pergaduhan di situ yang disaksikan orang ramai.


“Wanita itu yang berang, bertanya kepada suaminya mengenai status mereka menyebabkan lelaki terbabit naik angin lalu membelasahnya.


“Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana bimbang kandungannya terjejas,”
katanya.


Menurut sumber itu, anggota polis berkenaan bertugas di unit pancaragam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.


Berikutan kejadian itu, mangsa cedera di muka, tangan dan kaki manakala seluar mangsa juga terkoyak di bahagian lutut dipercayai terjatuh ketika bergaduh.


“Mangsa yang tidak tahan dengan tindakan kejam suaminya itu membuat pemeriksaan di HSB bagi memastikan keadaannya selamat.

“Wanita itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar selepas kejadian,” kata sumber berkenaan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abd Ghafar Rajab ketika dihubungi mengesahkan mangsa membuat laporan pada 17 Mei lalu.


Semalam, akhbar ini melaporkan seorang isteri yang masih berpantang selepas melahirkan anak ketiga, cedera teruk di muka, telinga, belakang badan dan kaki akibat dibelasah suaminya, seorang anggota bomba di Pulau Pinang.


Mangsa, Che Azaini Suyana Hassan, 31, yang juga seorang jururawat turut pengsan sejam di balai bomba berkenaan selepas ditendang suaminya yang berusia 30 tahun.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lelakibantaiisterihamil/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...