2010/05/08
KOTA KINABALU: “Lapan anak saya lahir dan dibesarkan bawah jambatan. Kami bahagia dan tidak pernah menyesal berumah bawah jambatan sejak 10 tahun lalu,” kata Meleheng Manabba, 38, ketika ditemui bawah jambatan yang menghubungkan Likas dengan bandar raya ini, berhampiran Tanjung Lipat, semalam.
Dia yang mendakwa berbangsa Pala’u, iaitu etnik yang menetap secara nomad dalam perahu, mempunyai lima anak lelaki dan tiga perempuan tidak pernah menyesal dengan keadaan hidupnya selain mengaku selesa.
Sekumpulan lima kanak-kanak berambut kuning dan kerinting kelihatan bermain juga dipercayai dilahirkan di bawah jambatan terbabit. Meleheng berkata, suaminya, Panjau Menteru, 40, bersama tiga anak mereka tiada di ‘rumah’ kerana mencari kerang dan tiram untuk dijual bagi menampung perbelanjaan keluarga.
Ketika diminta menceritakan bagaimana mereka terdampar bawah jambatan, Meleheng mendakwa perahunya karam pada 1999 ketika berada di perairan Kota Kinabalu selepas dua tahun belayar dari Laut Sulawesi di Semporna ke Laut Sulu di Sandakan menuju Pulau Banggi, Kudat. “Ketika itu kami sekeluarga dalam perjalanan ke perairan Pulau Mantanani, Kota Belud, Tuaran dan tiba di perairan Kota Kinabalu sebelum bot kami naiki karam akibat bocor.
“Saya dan suami terpaksa berenang ke tepi pantai manakala lima lagi adik-beradik mereka dalam perahu itu gagal dikesan sehingga sekarang,” katanya. Beliau berkata, Panjau menyelamatkannya ketika hampir lemas dan selepas beberapa jam berenang, mereka akhirnya terdampar di tepi jambatan.
“Kami tidak mampu membuat perahu baru bagi meneruskan kehidupan rutin sebagai etnik Pala’u menyebabkan kami memilih menetap bawah jambatan,” katanya.
Meleheng berkata, peringkat awal mereka mencari nafkah hidup dengan mengumpul tin kosong dan kertas serta menjualnya kepada pengutip bahan itu serta pernah mengemis.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lahirlapananakbawahjambatan/Article
No comments:
Post a Comment