AMPANG: Seorang penagih dadah ‘terbang’ hampir 20 meter sebelum terjatuh atas jalan di Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) menghala Pandan Perdana di sini, apabila motosikalnya dilanggar sebuah kereta dari belakang ketika cuba melarikan diri selepas meragut rantai leher seorang wanita, malam tadi.
Difahamkan, pemandu terbabit yang menyaksikan kejadian berkenaan mengejar suspek sebelum melanggar belakang motosikalnya kerana keengganan lelaki terbabit menyerahkan diri.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, suspek yang menunggang sebuah motosikal meragut rantai leher seorang suri rumah yang membonceng motosikal bersama suaminya ketika mangsa berhenti di lampu isyarat. Seorang pemandu yang melihat kejadian itu melanggar motosikal suspek menyebabkan dia terjatuh dan diberkas orang ramai.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata suspek berusia 20-an bukan saja gagal mendapatkan rantai leher mangsa, tetapi terpaksa dimasukkan ke hospital kerana cedera akibat terjatuh dari motosikal. “Suspek yang juga seorang penagih meragut rantai leher mangsa dari belakang ketika motosikal dinaiki pasangan suami isteri itu berhenti di lampu isyarat.
“Wanita berusia 30-an itu bagaimanapun melawan menyebabkan suspek mencederakannya menggunakan topi keledar,” katanya ketika dihubungi di sini.
Abdul Jalil berkata, suspek dan mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penagihterbanglepasragut/Article
No comments:
Post a Comment