2010/05/08
KUALA LUMPUR: Pemulihan selaput dara hanya layak dijalankan pakar bedah estetik atau kosmetik profesional kerana kaedah itu mempunyai risiko tinggi yang mampu menyebabkan jangkitan kuman serta pelbagai komplikasi mengancam kesihatan jika dilakukan orang yang tidak berpengetahuan.
Ia juga bukan pembedahan ‘main-main’ yang boleh digunakan remaja sekadar suka-suka untuk pulihkan dara mereka selepas melakukan hubungan seks dengan rela.
Pegawai Perubatan Am Mediviron TTDI Jaya, Dr Sharifah Abd Ghaffar berkata, pakar bedah plastik yang layak menjalankan pembedahan itu juga mempunyai etika dan tidak akan sewenang-wenangnya menjalankan pembedahan sekiranya ia sekadar untuk alasan remeh-temeh.
“Kaedah pembedahan ini tetap mempunyai risiko tersendiri sama seperti pembedahan lain dan jika yang terbabit itu remaja, pakar bedah itu sudah tentu akan mendapatkan kebenaran daripada ibu bapa mereka dan saya rasa bukan mudah untuk ibu bapa bersetuju.
“Apalagi pembedahan ini bukan murah dan selalunya hanya dijalankan mereka yang sudah berumur atas sebab tertentu yang lebih kukuh seperti untuk memperbaiki kehidupan seks bersama pasangan masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Dr Sharifah mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai dua remaja perempuan yang sanggup merelakan diri menjadi mangsa seks tiga serangkai kerana percayakan janji ‘Tok Muda’ yang mendakwa mampu mengembalikan selaput dara yang hilang akibat kerap melakukan hubungan kelamin.
Beliau berkata, remaja terutama beragama Islam sepatutnya mengawal diri dan tidak terbabit dalam kegiatan seks rambang.
Sementara itu, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang juga pakar motivasi dan penceramah, Zawawi Yusof berkata, mereka yang sudah melakukan dosa sepatutnya bertaubat dan mencari jalan ke pangkal jalan yang diredai Allah bukannya dengan cara cuba menutup kesalahan lampau dengan kaedah pelbagai.
Beliau berkata, sikap gadis terlanjur yang sebelum ini memang melakukan seks dengan rela tetapi kemudian mahu memulihkan dara dengan bertemu bomoh atau kaedah lain, seolah-olah menunjukkan mereka cuba menipu bakal suami masing-masing, menyebabkan mereka ditemukan dengan jalan yang silap dan akhirnya menjadi mangsa penipuan juga.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tipubakalsuami/Article
No comments:
Post a Comment