2010/06/19
SEBERANG JAYA: Seorang wanita menggunakan helah dengan menyamar sebagai pegawai Jabatan Imigresen bernama ‘Siti’ bagi mendapatkan wang secara mudah mengakibatkan mangsa kerugian ribuan ringgit.
Kaedah digunakan wanita itu ialah menghubungi mangsa dan memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen sebelum memberitahu konon rakan mangsa ditahan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL), Pulau Pinang.
Bagi meyakinkan mangsa, wanita berusia 40-an itu mereka-reka cerita konon rakan mangsa melakukan kesalahan membawa sejumlah wang tanpa mengisytiharkan nilai sebenar serta kesalahan lain.
Apabila mangsa mula percaya kata-katanya, wanita itu meminta wang antara RM3,000 dan RM5,000 konon bagi membebaskan rakannya yang ditahan. Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Abdul Qadir Siddiq Ahmad, berkata wanita itu dipercayai menjalankan kegiatannya sejak Februari lalu dengan panggilan terbaru dua hari lalu.
Katanya, sehingga kini, 30 panggilan diterima berhubung tindakan licik wanita terbabit yang meminta sejumlah wang daripada mangsa.
“Kami menafikan ‘Siti’ yang membuat panggilan meminta sejumlah wang adalah pegawai imigresen. Siasatan mendapati tindakan ‘Siti’ cubaan menipu dan laporan sudah dibuat kepada pengurusan tertinggi imigresen,” katanya pada sidang media di sini, semalam. Beliau berkata, ada mangsa yang sudah membuat bayaran kepada wanita terbabit kerana percaya dengan cerita rekaan konon rakan mereka ditahan Imigresen di LTABL.
“Setakat ini tiada tangkapan dilakukan kerana siasatan sedang dijalankan. Kami minta mangsa yang sudah menjelaskan bayaran kepada wanita terbabit supaya membuat laporan polis,” katanya.
Sementara itu, seramai 28 pekerja restoran tom yam warga Thailand ditahan dalam dua serbuan berasingan di Jalan Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas dan Lengkuk Tenggiri, Seberang Jaya, kelmarin.
Daripada jumlah itu, 22 pekerja lelaki manakala selebihnya wanita berusia antara 20-an hingga 30-an bekerja sebagai tukang masak dan pelayan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AwasjikaandadihubungiSiti/Article
No comments:
Post a Comment