Saturday, June 19, 2010

Dicabul kerana angau duda

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

2010/06/19

KUANTAN: Niat asal seorang nenek mahu membantu cucunya seorang janda anak satu berusia 21 tahun berubat selepas dipercayai terkena buatan orang bertukar sejarah hitam apabila wanita muda itu menjadi mangsa cabul bomoh ‘sial’ dikenali sebagai Pak Long dalam kejadian di Felda Sungai Panching Utara di sini, Rabu lalu.

Difahamkan, mangsa kerap jatuh sakit akibat terlalu merindui bekas suaminya selepas mereka bercerai.


Disebabkan keadaan mangsa yang lemah menyebabkan neneknya percaya dia terkena buatan orang sebelum berusaha mendapatkan bantuan seorang bomoh tradisional yang terkenal dengan panggilan Pak Long di kalangan penduduk setempat untuk berubat.


Pak Long yang tiba di rumah nenek berkenaan kira-kira jam 7.30 malam pada hari kejadian dimaklumkan lebih lanjut wanita itu mengenai penyakit dideritai cucunya yang asyik teringatkan bekas suaminya.


Mendengar penjelasan itu, bomoh berusia 50-an terbabit lantas mengatakan janda beranak satu berkenaan terkena buatan orang dan perlu diubati segera.


Bomoh terbabit meminta cucu wanita itu masuk ke bilik mandi untuk menjalankan upacara mandi bunga dan bermula episod malang janda muda berkenaan apabila tubuhnya diraba.


Pegawai Turus di Jabatan Urusetia, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri, berkata selepas masuk ke bilik mandi, mangsa diminta menanggalkan pakaian dan hanya berkemban untuk menjalankan rawatan.


“Ketika memandikannya, bomoh terbabit meraba bahagian sulit wanita berkenaan menyebabkan dia berang sebelum memarahi suspek,” katanya ketika ditemui, semalam.


Katanya, namun bomoh terbabit memaklumkan kepada mangsa dia perlu berbuat demikian kerana itu cara perubatannya bagi membuang segala ‘benda buruk’ yang ada pada tubuh badan wanita berkenaan.


“Mangsa yang enggan percaya terus memarahi suspek sebelum dia melarikan diri meninggalkan wanita itu keseorangan di dalam bilik air,” katanya.


Noor Asyikin berkata, tidak berpuas hati dengan kejadian menimpanya, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan keesokannya kira-kira jam 9 malam.

Berikutan laporan mangsa, polis menahan suspek malam kelmarin ketika berada di rumahnya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.


“Suspek kini direman di lokap IPD Kuantan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan berhubung kejadian itu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dicabulkeranaangaududa/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...