KINI bukan bunyi lunak loceng perkahwinan yang bergema di seluruh Indonesia, sebaliknya bunyi penggera keselamatan. Perlambangan itu merujuk kepada cadangan bayaran wang jaminan keselamatan setinggi AS$55,000 (RM180,593) daripada lelaki asing yang mahu mengahwini wanita Indonesia.
Sesetengah bakal pengantin wanita pula mengugut mahu lari ke luar negara dan mengahwini pasangan mereka di sana sekiranya rancangan itu diluluskan kerajaan. Cadangan yang menimbulkan kontroversi itu adalah sebahagian daripada pembaharuan undang-undang perkahwinan yang mahu diperluaskan oleh golongan konservatif.
Pada masa yang sama, lelaki asing mula mempertikaikan sebab mereka menjadi sasaran, walhal berita mengenai golongan itu dieksploitasi wanita mata duitan yang banyak dilaporkan di negara Asia Tenggara ini.
Cadangan itu menuntut lelaki asing yang mahu mengahwini wanita beragama Islam Indonesia agar meletakkan wang cagaran sebanyak 500 juta rupiah (RM178,063). Namun, ia tidak melibatkan wanita penganut agama lain seperti Kristian, Buddha atau Hindu.
Harta sepencarian
Sekiranya berlaku perceraian, isteri akan mendapat wang tersebut namun jika rumah tangga bertahan sekurang-kurangnya selama sedekad, ia boleh dituntut sebagai harta sepencarian.
Menurut dokumen usul tersebut, peruntukan itu bertujuan melindungi hak wanita dan anak jika suami mengabaikan mereka, gagal memberi nafkah, meninggalkan Indonesia secara rahsia, bercerai atau melakukan sesuatu yang memberi kesan buruk kepada status perkahwinan mereka.
Bagaimanapun, pasangan yang hangat dilamun cinta menentang keras cadangan itu. "Sangat mengarut. Kerajaan mahu menjual saya," keluh Roslina, 36, seorang pengurus acara yang merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan teman lelakinya dari Jerman, Christopher September ini.
"Bakal suami saya sanggup membayarnya, namun itu bukan isunya. Kami akan berkahwin di luar negara jika usul ini menjadi undang-undang," ujarnya.
Seorang model berusia 24 tahun yang enggan dikenali pula menyatakan dia dan pasangannya yang berasal dari Jerman dilayan secara tidak adil.
"Nampaknya kerajaan tidak menghormati kaum wanita Indonesia. Adakah perkara gila ini hanya menghukum lelaki asing? Kenapa tidak menghukum lelaki tempatan yang berkahwin tiga atau empat walaupun tidak mampu?" tegasnya.
Teman lelakinya yang berusia 39 tahun yang enggan dikenali juga menyifatkan cadangan kerajaan itu seolah-olah rakyat adalah milik mereka yang dijual di pasar menjual daging.
"Mungkin selepas ini kita akan melihat katalog perempuan yang akan dipasarkan. Mungkin saya boleh membuka pejabat di luar negara dan mula memasarkan wanita Indonesia," katanya secara sinis.
Seorang gadis bernama Masyita yang bersetuju dengan keluhan mengenai usul itu memberitahu, jika jatuh hati dengan wanita Indonesia, jangan risau kerana ia cuma 500 juta rupiah, tetapi betapa murahnya harga diri kami.
Pegawai kementerian tersebut, Nasaruddin Umar memberitahu, cadangan yang dikemukakan oleh Kementerian Hal Ehwal Agama akan dibentangkan ke Parlimen untuk diluluskan pada penghujung tahun ini.
"Wang jaminan tersebut diwujudkan untuk menghalang warga asing melakukan perkahwinan palsu semata-mata bagi menubuhkan perniagaan atau membeli hartanah atas nama isteri, selain memastikan wanita mendapat jaminan kewangan sekiranya diceraikan.
Menyokong usul
"Apabila wanita itu dianggap tidak lagi berguna, mereka biasanya ditinggalkan begitu saja," katanya tanpa meletakkan sebarang angka atau kajian untuk menyokong kenyataannya.
Tambahnya, perkahwinan adalah suci dan murni, ia tidak boleh dicemari dengan nafsu dan keinginan peribadi. Tujuan mereka hanya mahu melindungi wanita negara tersebut.
Golongan ulama, kumpulan hak wanita dan penggubal undang-undang turut menyatakan pandangan.
Kebanyakan ulama di negara majoriti beragama Islam itu menyokong usul itu manakala pengkritik menyifatkan ia akan menggalakkan orang hidup bergelumang dosa dengan hubungan luar nikah dan meningkatkan risiko kepada wanita.
"Saya bersetuju dengan usul ini, banyak kes lelaki asing berkahwin dengan wanita tempatan kemudian ditinggalkan dengan anak-anak begitu saja," kata Pengerusi Majlis Ulama Indonesia, Amidhan.
Namun seorang peguam, Iskan Qolba Lubis mempunyai pandangan berbeza.
"Orang mahu berkahwin kerana dilamun cinta jadi kenapa kita menyukarkan keadaan? Ia adalah satu diskriminasi. Kita tidak akan berasa gembira jika negara lain melakukan perkara yang sama kepada kita," ulasnya.
Nia Schumacher dari Melati Worldwide iaitu kumpulan yang melobi idea perkahwinan campur menyifatkan usul itu hanya akan membawa kepada isu baru iaitu kahwin lari.
"Mereka mungkin tidak akan mendaftar perkahwinan atau tidak mahu berkahwin dan kemudian bersekedudukan. Inikah yang dimahukan kerajaan?" tambahnya.
Beberapa aktivis wanita turut merasakan usul itu meletakkan wanita sebagai komoditi dan diskriminasi bagi lelaki luar negara.
"Kami sangat menentang usul ini. Ia merendahkan maruah wanita dan tidak semua lelaki warga asing mempunyai wang yang banyak.
"Jika asas usul itu untuk melindungi wanita, ia perlu diaplikasikan kepada lelaki tempatan juga. Banyak kes lelaki tempatan mempunyai ramai isteri dan meninggalkan mereka sehelai sepinggang," tegas Pengerusi Bersama Pertubuhan Perkahwinan Multinasional Wanita Indonesia (Srikandi), Emmylia Hannig.
Roslina turut menyifatkan usul itu sebagai menghancurkan kasih sayang kerana lelaki asing terpaksa memungkiri janji mereka.
"Kawan saya kehilangan calon suami. Dia dan teman lelaki Perancisnya telah empat tahun bersama dan merancang untuk berkahwin. Namun berita terbaru yang saya dengar, mereka terpaksa menangguhkan hasrat itu.
"Teman lelakinya berasa bimbang untuk berkahwin kerana merasakan adalah tidak adil jika dia perlu membayar wang itu," katanya kesal. - AFP
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0615&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm
No comments:
Post a Comment