Saturday, June 19, 2010

Remaja dua kali hamil anak luar nikah

2010/06/19

KUALA TERENGGANU: Keterlanjuran dengan kekasih sehingga mengandungkan anak luar nikah menyebabkan seorang remaja nekad menggugurkan kandungannya berusia dua minggu di dalam tandas rumahnya walaupun tahu perbuatannya itu kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Semuanya itu berlaku, selepas dia hilang arah apabila mendapati dirinya hamil sebelum mengambil jalan pintas mengamalkan memakan sulur sirih secara diam-diam selepas memperoleh ilmu tradisional itu daripada seorang bidan kampung.


Remaja terbabit hanya mahu dikenali sebagai Ida, 19, yang kini insaf dengan perbuatannya itu berkata akibat termakan pujuk rayu kekasihnya seorang lelaki berusia 40-an dia menuruti segala kehendaknya termasuk melakukan hubungan seks di dalam kereta dan ladang kelapa sawit.


Malangnya, selepas tubuhnya diratah teman lelaki yang sudah beristeri itu, dia dibiarkan bersendirian apabila lelaki terbabit enggan bertanggungjawab.


“Dari sehari ke sehari hubungan kami menjadi semakin rapat dan saya tidak menyangka dia sanggup mengambil kesempatan di atas kesulitan dihadapi apabila mengajak saya melakukan hubungan seks,” katanya.


Menurutnya, sejak perawannya diragut, dia menjadi ketagih apabila sering melakukan perbuatan terkutuk terbabit dengan kerelaan kerana terlalu menyayangi kekasihnya itu yang berperwatakan baik selain menjanjikan hubungan mereka akan ke jinjang pelamin.


Katanya, terlalu asyik dengan janji terbabit, dia tidak menyedari hubungan seks itu mendatangkan masalah kepada dirinya apabila mendapati kitaran haid terganggu dan baru dia menyedari dirinya mengandung hasil hubungan terlarang itu.


“Selepas mendapat jalan daripada sepupu yang turut melakukan pengguguran berikutan tidak bersedia menimang cahaya mata, saya nekad memakan sulur sireh yang diminta daripadanya untuk menggugurkan kandungan,” katanya.


Katanya, kejadian itu berlaku Januari lalu dan selepas berpantang dia mula aktif melakukan hubungan seks dengan kekasihnya sehingga mengandung buat kali kedua pada Mac lalu, bagaimanapun teknik serupa dilakukan bagi menutup pekung perlakuannya itu daripada diketahui keluarga.


“Saya sedar perlakuan itu bertentangan ajaran Islam dan berharap wanita di luar sana terutama remaja tidak terpengaruh pujukan teman lelaki untuk melakukan hubungan seks,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Remajaduakalihamilanakluarnikah/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...