Sunday, June 13, 2010

Cabaran Harith

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN

2010/06/13

PETALING JAYA: Pelawak dan pelakon, Harith Iskander Musa, 44, selamat diijabkabulkan dengan doktor dan model, Jezamine Lim Abdullah, 27, semalam, namun pasangan itu berdepan cabaran besar dalam melayari kehidupan berumah tangga apabila mahligai dibina tidak mendapat restu keluarga.

“Keluarga Jezamine tidak menerima saya. Kami masih dalam proses mengeratkan hubungan antara satu sama lain.


“Ia satu cabaran untuk saya (memenangi hati mentua). Jezamine bersama-sama saya untuk melakukannya dan dia sangat kuat berdepan cabaran seperti ini,”
katanya pada sidang media selepas majlis pernikahannya.


Pada majlis ringkas tetapi meriah di Kota Damansara, di sini, Harith sah bergelar suami kepada Jezamine pada jam 12.05 tengah hari dengan sekali lafaz. Harith dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai, dan Rujuk Daerah Petaling, Muhamad Sujak Dasuki dengan mas kahwin RM300, manakala Jezamine pula berwalikan wali hakim.


Pihak lelaki membawa hantaran perkahwinan RM50,000 berserta tujuh dulang dan dibalas sembilan oleh pihak perempuan.

Menurut Harith, walaupun perkahwinan mereka tidak mendapat restu keluarga, pernikahan itu tidak dilakukan secara rahsia, sebaliknya keluarga Jezamine turut diberitahu dan dijemput.


Katanya, tidak diterima bukan bermakna dia akan terus mengetepikan keluarga mentuanya.


“Pernikahan hari ini diketahui keluarga Jezamine, malah kami menjemput mereka, tetapi mereka tidak hadir. Apa pun, saya akan terus berusaha mengeratkan hubungan dengan keluarga mentua.


“Saya yakin satu hari nanti keadaan akan berubah. Dulu pun keluarga arwah ayah saya tidak dapat menerima arwah ibu, tetapi lama kelamaan dapat diterima,”
katanya.


Dalam pada itu Harith turut berkongsi perasaan sayu kerana tidak berpeluang berkongsi hari bahagia bersama arwah ayah dan ibunya.


“Ketika hendak dinikahkan, fikiran saya melayang terkenangkan arwah ayah dan ibu. Mereka tidak dapat berkongsi hari bahagia ini.


“Cadangan saya untuk bernikah pada 9 Jun, iaitu hari lahir ibu, tetapi selepas melalui pelbagai proses, ia berlangsung hari ini (semalam). Apapun, hari lahir ayah pada 15 Jun dan saya bernikah di pertengahan tarikh lahir mereka,”
katanya.

Bapa Harith, Musa Mohamad meninggal dunia pada 26 Februari lalu ketika berusia 78 tahun, manakala ibunya, Farida Jane Musa meninggal dunia pada 21 Mac lalu pada usia 83.


Bagi Jezamine pula, perbezaan usia bukan penghalang untuk berkongsi hidup sebagai suami isteri.


“Harith sangat merendah diri, matang, menghormati orang lain dan sangat memahami. Ketika kali pertama bertemu dengannya, saya merasakan dia (Harith) adalah orangnya (untuk dijadikan teman hidup),” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/CabaranHarith/myMA/myArticle/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...