Sunday, June 13, 2010

Mentua rampas zuriat

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN

2010/06/13

KUALA LUMPUR: Dia terpaksa berkahwin dengan lelaki yang merogolnya selepas berkenalan hanya tiga hari, dan ketika bergelar isteri pula ‘sepak terajang’ daripada suami bagaikan lumrah dalam kehidupan sehariannya.

BUKTI...Suria menunjukkan laporan yang dibuat kepada polis.
BUKTI...Suria menunjukkan laporan yang dibuat kepada polis.


Enam tahun melayari kehidupan penuh sengsara, suaminya meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan. Malangnya, kesedihan berganda buat dirinya apabila mendapat tahu suaminya maut selepas melakukan jenayah ragut bersama perempuan lain.

Sangkanya derita dilalui sudah berakhir, tetapi rupa-rupanya ada lagi sengsara perlu ditempuhinya apabila dua zuriatnya dirampas keluarga mentua. Begitulah nasib menimpa seorang janda muda. Ikuti rintihan Suria, 24, yang turut ditemani ayahnya kepada wartawan Metro Ahad, ASMIZAN MOHD SAMIRAN.


“PADA usia 18 tahun saya terpaksa berkahwin dengan lelaki yang merogol saya. Ia atas persetujuan keluarga kedua-dua pihak kerana mahu menyelesaikan masalah itu dengan cara baik. Itupun atas rayuan keluarga suami yang bimbang dia dikenakan tindakan undang-undang selepas ayah membuat laporan polis.

Laporan polis ditarik balik dan kami berkahwin. Saya tinggal bersama keluarga mentua. Di awal perkahwinan, suami dan keluarganya masih menyembunyikan belang masing-masing, namun selepas tempoh itu, umpama membalas dendam, saya dilayan seperti hamba abdi.

Saya bekerja dari siang hingga malam, tetapi suami di rumah goyang kaki. Cukup bulan saya dapat gaji, wang itu diberi kepada ibu mentua dan suami. Gaji saya sebagai pembantu kedai hanya RM1,300.

Sebanyak RM400 diserah kepada ibu mentua dan selebihnya kepada suami. Saya terpaksa menyembunyikan sedikit wang gaji untuk keperluan anak. Suami tidak ambil tahu langsung hal perbelanjaan saya dan anak.

Saya tidak tahu apa dibuatnya dengan wang yang saya beri. Apabila habis wang, dia minta dengan saya. Mahu tidak mahu terpaksa beri wang yang sempat saya sembunyikan kerana jika tidak, saya dihadiahkan dengan ‘sepak terajang’.


Selain sepak terajang, kepala saya kadangkala dihantuk ke dinding sehingga pernah telinga saya ‘koyak’. Suami mudah meradang walaupun kerana hal kecil seperti saya tidak menemaninya makan sedangkan ketika itu saya tertidur selepas letih pulang dari tempat kerja.

Di tempat kerja, kadangkala saya tidak makan kerana tiada wang. Jika ada wang, setakat cukup makan nasi berlaukkan kuah semata-mata. Beberapa kali ayah dapat menghidu masalah saya sehingga terpaksa beri wang kepada majikan saya yang memberi saya RM10 sehari untuk mengisi perut.


Saya juga tidak pernah kenal erti berpantang selepas bersalin kerana tidak melakukannya. Tiada urutan, apatah lagi jamu atau ubat untuk ditelan. Keluarga mentua buat tidak tahu saja.

Kesengsaraan dilalui membuatkan saya pernah beberapa kali melarikan diri ke rumah keluarga buat seketika. Saya juga pernah nekad meminta cerai, tetapi hasrat itu tidak kesampaian.

Selama enam tahun bergelar isteri, saya melalui kehidupan yang penuh penderitaan. Nasib saya terus malang apabila suami meninggal dunia kerana terbabit dengan kemalangan.


Keluarga mentua tidak memberitahu punca kemalangan, tetapi selepas beberapa hari baru saya tahu suami maut selepas melakukan jenayah ragut.

Ketika itu suami bersama wanita lain. Suami saya pernah membawa wanita itu pulang ke rumah, tetapi keluarga mentua buat tidak tahu saja.

Saya beranggapan mampu memulakan hidup baru selepas hidup bersendirian, tetapi semangat saya menjadi luntur selepas mentua merampas dua anak saya.


Mereka tidak membenarkan saya mengambil zuriat saya. Saya hanya dibenar menjenguk anak di rumah mereka. Hendak membawa keluar anak juga tidak dibenarkan.

Beberapa kali saya merayu dengan cara baik, malah pernah membuat laporan polis untuk mengambil anak saya, tetapi dilayan umpama sampah. Ibu mentua pernah menyebut ‘sial kau’, ‘pergi berambus’ dan rampas anak daripada pelukan ketika saya mahu mengambil anak saya.


Bayangkan bagaimana keadaan saya tanpa anak di sisi. Dulu, setiap kali pulang dari kerja, saya peluk cium mereka. Melayan keletah mereka dan tidur bersama.

Kini sudah empat bulan saya bersendirian tanpa mereka. Tidur tidak pernah lena. Saya hanya mampu termenung mengenangkan nasib yang menimpa.

Saya mahu menyelesaikan masalah ini di mahkamah syariah, tetapi entah bagaimana surat nikah dan surat beranak dua anak saya yang disimpan di dalam bilik di rumah mentua hilang. Saya turut membuat laporan polis mengenai kehilangan dokumen penting itu.


Ia menyukarkan saya membawa masalah itu ke mahkamah. Saya akan terus berusaha menuntut hak saya. Saya tulis surat bertulis tangan dan bercadang menyerahkan kepada pihak yang berkenaan supaya saya boleh dibantu.

Saya benar-benar mahukan anak saya. Kepada ibu dan ayah mentua, tolonglah... kasihanilah saya. Saya nak jaga anak saya. Masih terngiang-ngiang ungkapan ‘saya sayang mama sangat’ ketika berjumpa mereka beberapa minggu lalu.”

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mentuarampaszuriat/myMA/myArticle

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...