Sunday, June 13, 2010

Salah pisahkan ibu dengan anak kandung

2010/06/13

KUALA LUMPUR: “Adalah salah bagi seseorang itu memisahkan ibu dengan anak kandung mereka berikutan ia menafikan hak seorang ibu,” kata peguam syarie, Datuk Zaidi Zain mengenai tindakan keluarga mentua seorang wanita merampas serta memisahkan dia dengan dua anaknya selepas suaminya meninggal dunia.

Sebaliknya, Zaidi berkata, keluarga mentuanya hanya perlu bertanggungjawab terhadap nafkah serta kebajikan anak berkenaan sehingga mereka tamat belajar, sudah bekerja atau berkahwin.


“Perkara ini memang jelas dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 yang memperuntukkan seseorang ibu memiliki hak sepenuhnya untuk menjaga anak mereka melainkan jika wanita itu disabitkan atas kesalahan jenayah atau atas masalah kesihatan seperti gila.


“Walaupun enakmen ini sudah tertulis, kita dapati masih ada segelintir ibu tidak tahu mengenainya, menyebabkan ada yang makan hati dan menerima saja nasib yang menimpa,”
katanya.


Berdasarkan enakmen itu, Zaidi berkata, penjagaan anak secara automatik jatuh kepada ibu jika anak yang dituntut berusia tujuh tahun ke bawah bagi anak lelaki, manakala sembilan tahun ke bawah bagi anak perempuan.

Zaidi berkata, dalam kes wanita berkenaan, tindakan sepatutnya yang perlu diambil adalah dengan mendaftar tuntutan itu di bahagian pendaftar mahkamah bagi membolehkan bantuan sewajarnya diambil, terutama dalam mendapatkan hak penjagaan sementara sebelum kes itu diputuskan mahkamah.


Katanya, isu masalah kewangan dalam membuka kertas tuntutan tidak sepatutnya timbul dan menjadi masalah kerana mereka boleh mendapatkan khidmat guaman dengan membuat permohonan di Biro Bantuan Guaman Negeri.


“Sebenarnya perkara ini boleh menjadi mudah jika mana-mana wanita yang mengalami masalah ini merujuk masalah mereka dengan pihak pendaftar mahkamah atau mana-mana biro bantuan guaman.


“Namun kerana tidak tahu, mereka hanya membiarkannya sehingga bertahun-tahun sebelum ada yang menasihati mereka untuk merujuk kes berkenaan dan menyukarkan lagi tuntutan dibuat,” katanya yang mengakui menerima banyak kes seperti itu.


Menurut Zaidi, permohonan terhadap tuntutan penjagaan anak boleh dibuat dengan menyertakan sijil kelahiran anak yang dituntut, salinan sijil perkahwinan dan surat kematian suami menerusi pendaftar mahkamah.


Katanya, jika kehilangan dokumen, pengadu tiada masalah untuk mendapatkan salinannya berikutan hanya perlu merujuknya kepada jabatan berkaitan.


“Kehilangan sijil kelahiran anak yang dituntut bukan masalah kerana ia boleh diambil semula di mana-mana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan membuat cabutan surat beranak di mana-mana pejabat JPN.

“Sama seperti sijil pengesahan perkahwinan... jika ia hilang, seseorang itu boleh mendapatkan salinannya dengan merujuk kembali ke pejabat agama yang mengeluarkan sijil itu ketika bernikah,” katanya.


Dalam pada itu, Zaidi berkata, bagi memudahkan wanita, terutama yang bergelar ibu, mendapatkan khidmat nasihat mengenai segala isu membabitkan tuntutan syarie seperti kes perceraian, isu penjagaan anak serta tuntutan nafkah, mereka boleh merujuk laman web www.irunding.com.my yang dilancarkan oleh agensinya.


Katanya, menerusi laman web itu, individu boleh mendaftar secara percuma dan hanya dikenakan bayaran minimum serendah RM10 bagi mendapatkan khidmat kaunseling.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Salahpisahkanibudengananakkandung/myMA/myArticle/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...