2010/06/24
KLANG: Seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara 38 tahun dan 16 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas didapati bersalah merogol dan memaksa anak teman wanitanya berusia 13 tahun melakukan seks oral dalam tiga kejadian berasingan, dekat sini, tiga tahun lalu.
Hakim Yong Zarida Sazali turut memerintahkan hukuman terhadap Muhammad Khalid Teoh Abdullah, 35, bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 14 September 2007.
Tertuduh yang memakai kemeja berwarna merah tua dan berseluar gelap dilihat tergamam seakan-akan tidak percaya apabila mendengar keputusan itu.
Bagi setiap kesalahan merogol pelajar tingkatan satu itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang setiap satunya memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Sementara itu, bagi kesalahan melakukan seks di luar tabii, dia didakwa mengikut Seksyen 377 (C) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.
Yong Zarida dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah. Difahamkan, Muhammad Khalid tinggal bersama teman wanitanya yang juga ibu mangsa serta nenek remaja itu.
Mengikut keterangan saksi, dalam kejadian pertama kira-kira jam 8.30 malam 7 Jun 2007, tertuduh membawa mangsa ke rumah rakannya di Pandamaran, Klang sebelum mengarahkan mangsa berbaring di sofa. Dia kemudian mula meraba bahagian belakang mangsa. Apabila remaja itu mula menangis, tertuduh mengacukan parang dan mengugut membunuhnya jika permintaannya tidak ditunaikan.
Ketika kejadian pada malam hari itu, keadaan rumah bergelap akibat bekalan elektrik terputus dan tertuduh kemudian memaksa mangsa melakukan seks oral sebelum merogolnya.
Manakala, pada kejadian seterusnya iaitu kira-kira 2.30 petang, antara 2 dan 3 Julai 2007, tertuduh menampar sebelum rogol mangsa di rumah lama teman wanitanya di taman perumahan dekat sini. Pada kejadian ketiga di rumah baru pasangan itu di sebuah apartmen di Bandar Bukit Tinggi, dekat sini, pula tertuduh mengunci ibu dan nenek mangsa di dalam bilik air.
Tertuduh kemudian mengacukan pisau sebelum merogol mangsa dan selepas kejadian mengarahkan mangsa itu menunjukkan tempat neneknya menyimpan wang.
Berang apabila remaja itu tidak mengetahuinya, tertuduh memukul mangsa sebelum membelasah teman wanitanya dan nenek mangsa yang berusia 70 tahun.
Penderitaan tiga beranak itu bagaimanapun berakhir apabila mereka nekad melarikan diri dari rumah pada tengah malam 14 Ogos 2007 dan tinggal sementara di sebuah hotel di Sekinchan sebelum membuat laporan polis.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kekasihsetandijel38tahun/Article
No comments:
Post a Comment