Thursday, June 10, 2010

RM70 sara 2 anak OKU

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

2010/06/10

KUALA LUMPUR: “Dengan kos sara hidup semakin tinggi, bagaimana saya mampu membeli keperluan untuk anak kelima saya yang hanya mampu berbaring sepanjang masa walaupun usianya kini sudah 25 tahun.

“Puas saya membuat rayuan bantuan sara hidupnya dinaikkan tapi masih tiada jawapan. Sejak mendapat bantuan RM70, jumlah itu kekal sampai sekarang,” luah warga emas, Saliah Bani, 62 dari Jengka, Pahang.


Dia yang juga suri rumah berkata, selain anak gadisnya itu, Nor Azimah Khamis, dia turut mempunyai seorang anak lelaki yang turut dikategorikan orang kurang upaya (OKU).

Warga emas malang itu turut kesal kerana tiada siapa daripada jawatankuasa kawasan tempat tinggalnya di Felda Kenanga, Jengka 7, Pahang, yang pernah bertanya khabar apatah lagi menghulurkan bantuan kepada golongan tidak bernasib baik sepertinya.

“Dengan bantuan sebanyak itulah saya terpaksa membeli kelengkapan harian, malah dengan kudrat yang ada saya bercucuk tanam di belakang rumah untuk menampung perbelanjaan. “Ikutkan hati, saya mahu bekerja bagi mengurangkan beban kami sekeluarga tapi dengan usia sebegini, siapa yang mahu ambil saya. Tambahan pula, saya perlu menjaga Azimah kerana dia tidak mampu menguruskan dirinya sendiri,” katanya.


“Bukan saya tidak mempunyai anak lain untuk membantu, tapi mereka pun sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungan sendiri, kadang-kadang pendapatan mereka hanya cukup-cukup makan saja,” katanya yang mempunyai lapan anak ketika ditemui, di sini, semalam.


Lebih malang bagi wanita itu kerana turut menghidap asma dan kadangkala terpaksa berhempas pulas mengangkat Azimah ke tandas.

Saliah berkata, RM250 diperlukan setiap bulan bagi menyediakan keperluan seperti lampin pakai buang, susu dan bubur untuk anaknya itu kerana dia tidak mampu bergerak selepas mengalami demam panas ketika berusia 44 hari.

Sementara itu, Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat daerah Hulu Langat, Zainab Mat Amin ketika dihubungi berkata, skim bantuan am RM70 diperuntukkan untuk pemohon biasa manakala skim bantuan pesakit kronik RM300 diperuntukkan bagi pesakit terlantar.


“Bagaimanapun, skim bantuan bagi pesakit kronik baru diperkenalkan tahun lalu. Mungkin masalah timbul kerana proses menukar skim bantuan am kepada skim itu mengambil masa kerana JKM perlu menyiasat latar belakang pemohon.


“Bagaimanapun, pengadu dinasihatkan pergi semula ke JKM terdekat dan menceritakan masalah dihadapi dan memang menjadi tanggungjawab kami untuk membantu mereka yang memerlukan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/RM70sara2anakOKU/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...