Thursday, June 10, 2010

Wang judi RM1 bilion

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee

2010/06/10

KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti empat sindiket perjudian Internet bola sepak tanpa lesen didalangi individu bergelar ‘Datuk’ membabitkan wang pertaruhan lebih RM1 bilion bagi perlawanan Piala Dunia yang berlangsung esok.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, pihaknya kini menubuhkan satu pasukan khas dalam operasi dikenali ‘Ops Sogar’ bagi menggempur sindiket terbabit yang turut didalangi beberapa pakar teknologi maklumat (IT).

“Kami percaya sindiket ini beroperasi di seluruh negara membabitkan wang pertaruhan mencecah RM1 bilion dan bergiat di kalangan orang tempatan. Namun kami sedang menyiasat sama ada mereka mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa atau tidak.

“Bagi menjaga kepentingan awam, kami mengarahkan semua pegawai di semua kontinjen menggempur mana-mana sindiket yang menganjurkan pertaruhan.

“Buat masa ini kami sudah mengesan empat sindiket terbesar yang turut didalangi mereka bergelar Datuk,“
katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Mohd Bakri berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan turut didalangi ‘along’ yang menawarkan pinjaman haram sepanjang pertaruhan itu dilakukan.

“Kami percaya, selain melakukan pertaruhan di kafe perjudian siber, mereka turut mempunyai lokasi tertentu sebagai markas operasi dan unit pemantauan kami akan bekerjasama dengan Interpol bagi mengesan kegiatan itu di peringkat antarabangsa.

“Saya memberi amaran kepada sindiket ini, polis akan terus mengesan kegiatan haram mereka habis-habisan. Selain mengambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan, tindakan mengikut Akta Penggubahan Wang Haram juga turut dikenakan bagi menyita semua harta mereka jika sabit kesalahan,”
katanya.

Sementara itu, di lobi Parlimen, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong, berkata kementerian tidak teragak-agak mengambil tindakan serius terhadap sindiket perjudian dan orang perseorangan yang didapati bersalah mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289), Akta Pertaruhan 1953, Akta Jenayah Komputer 1977 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Hukuman yang boleh diambil mengikut akta yang dinyatakan termasuk hukuman maksimum lima tahun dan denda maksimum RM200,000 terhadap penjudi dan penganjur mesin perjudian,” katanya.

Lee berkata, terdapat dua bentuk perjudian menerusi talian iaitu ‘online casino’ dan ‘online sports betting’ yang berpusat di luar negara tetapi mempunyai ejen dalam negara yang beroperasi tanpa lesen.

Selain tindakan berkenaan, pihak yang ditangkap atas kesalahan sama boleh dikenakan tindakan sekatan atau tahanan mengikut undang-undang pencegahan iaitu Akta Kediaman Terhad 1933, Ordinan Darurat 1959 dan Akta Pengubah Wang Haram (pembiayaan keganasan) 2007.

Lee berkata, bagi pencegahan di peringkat antarabangsa, PDRM turut menjalinkan kerjasama dengan Interpol dalam membanteras aktiviti itu yang membabitkan negara Asean.

“Kementerian berusaha memelihara hak asasi masyarakat dan pada masa sama membantu mengekalkan keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam. Orang awam juga dialu-alukan untuk memberi maklumat sindiket perjudian dengan menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 dan Bilik Kawalan MCC Bukit Aman di talian 03-22663333/3444,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...