Thursday, June 10, 2010

Lepas geram bakar masjid

Oleh Hayati Ibrahim

2010/06/10

SEPANG: Akibat kecewa apabila mengetahui bekas isterinya akan berkahwin, seorang lelaki bertindak nekad membakar sebuah masjid di Kampung Limau Manis, dekat sini, malam kelmarin.

HANGUS...Samsudin menunjukkan ruang sembahyang utama masjid yang dibakar, kelmarin.
HANGUS...Samsudin menunjukkan ruang sembahyang utama masjid yang dibakar, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, lelaki berusia 30-an yang dipercayai mabuk bertindak demikian semata-mata untuk melepaskan geram.

Kejadian itu menyebabkan keseluruhan ruang sembahyang utama Masjid Jamiurrahmah terbakar.

Lelaki itu dipercayai menggunakan petrol untuk memulakan kebakaran sebelum tidur di ruang sembahyang utama tanpa menghiraukan keselamatan diri.

Imam masjid berkenaan, Samsudin Mat Daud, berkata kejadian itu disedari selepas ternampak api dan asap dari masjid berkenaan sebelum meninjau untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Saya cuba buka pintu utama, tetapi ia dikunci dari dalam. Kemudian saya cuba masuk menerusi pintu belakang dan mendapati seorang lelaki sedang tidur nyenyak berhampiran pintu di ruang sembahyang utama.

“Ketika itu, api marak. Saya tidak berani mendekati lelaki itu kerana bimbang dia mempunyai senjata.

“Saya ke kedai makan berhampiran untuk meminta pertolongan penduduk sebelum bergegas semula ke masjid untuk memadamkan api,”
katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Samsudin berkata, lelaki itu melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penduduk kampung.

Katanya, penduduk menelefon bomba untuk membantu memadamkan kebakaran bagi mengelakkan ia merebak ke tempat lain.

“Kejadian itu menyebabkan semua ruang sembahyang utama termasuk permaidani, al -Quran dan almari terbakar dan kerugian dianggarkan bernilai lebih RM300,000,” katanya.

Difahamkan, lelaki terbabit memulakan kebakaran dengan membakar al-Quran dalam almari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Zahedi Ayub ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya menjejaki seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai mencetuskan kebakaran.

“Kami sudah mengenal pasti suspek dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 435, Kanun Keseksaaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lepasgerambakarmasjid/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...