Monday, August 23, 2010

Ayam RM8 sekilogram

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my
2010/08/23

KUALA LUMPUR: Terdapat peniaga ayam di pasar dekat Jalan Ipoh dan Sri Petaling, di sini menjual ayam pada harga setinggi RM8 untuk setiap kilogram, sehingga membebankan pengguna apalagi ketika menjelang musim perayaan kini.

Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Paul Selva Raj, berkata selain itu hasil pemantauan, kaji selidik serta aktiviti turun padang pihaknya ke beberapa pasar di beberapa negeri pula, mendapati ada peniaga menjual ayam antara RM7 hingga RM7.50 untuk setiap kilogram.


Menurutnya, peniaga di beberapa negeri dikesan sewenang-wenangnya menaikkan harga ayam yang dijual di pasar sepanjang Ramadan ini, meningkat antara RM0.50 sen hingga RM0.70 sen untuk setiap sekilogram berbanding harga kebiasaan ia dijual iaitu sekitar RM6 dan RM6.50 sekilogram.


“Tindakan peniaga ini membebankan orang ramai yang terpaksa mengeluarkan belanja lebih.


“Daripada hasil pemantauan kita sejak bermulanya bulan puasa ini, kita dapati segelintir peniaga di Kuala Lumpur, Sungai Petani, Kedah selain Perak dan Johor menjual ayam pada harga tinggi dan ini sudah tentu membebankan pengguna.


“Kita kecewa dengan keadaan ini yang berlaku setiap kali musim perayaan walaupun acap kali usaha dijalankan bagi memastikan perkara ini tidak berterusan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata, lebih menyulitkan keadaan adalah apabila perkara itu dinyatakan kepada peniaga dan pembekal, mereka menyalahkan sesama sendiri hingga sukar untuk menyelesaikan kemelut terbabit.


Sehubungan itu, Paul menggesa pihak kerajaan khususnya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) campur tangan dalam menyelesaikan masalah harga ayam yang dinaikkan sesuka hati.


Katanya, Fama perlu menjadi orang tengah dengan membeli bekalan ayam dari pembekal kemudian jual kepada kepada peruncit bagi memastikan harga ayam sentiasa berpatutan.


“Dalam membantu meringankan beban pengguna, Fama boleh memainkan peranan apalagi tidak ada sebab kukuh mengapa harga ayam perlu dinaikkan setinggi itu sedangkan 100 peratus ayam yang dijual adalah keluaran tempatan.


“Bekalan ayam dalam negara tidak terjejas walau berlaku banjir atau musibah di luar negara seperti bekalan lain termasuk bawang putih yang terjejas harganya akibat faktor luar seperti banjir besar di Pakistan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pusat Khidmat Aduan Nasional (NCCC), Muhammad Sha’ani Abdullah, berkata pihaknya tidak menerima banyak aduan mengenai kenaikan harga barang sepanjang bulan ini namun mengakui ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga juadah berbuka yang dijual di bazar Ramadan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AyamRM8sekilogram/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...