Wednesday, September 8, 2010

'Balik nanti abang cerita'

2010/09/08

KUALA LUMPUR : “Tolong faham, abang tak balik rumah tiga hari dan abang minta maaf. Nanti balik abang akan cerita,” itulah kata terakhir Noorhisham Mohammad kepada isterinya, Suzana Radim Pangat menerusi telefon sebelum beliau dilaporkan hilang.

Noorhisham, 38, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru dilaporkan hilang bersama-sama jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya, 44, pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.


Mereka dilaporkan hilang sejak Isnin lalu ketika berada di Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.


Suzana, 38, berkata kali terakhir dia bercakap dengan suaminya melalui panggilan telefon kira-kira jam 8.15 malam Isnin minggu lalu dalam keadaan tergesa-gesa.


“Saya sangat pelik. Apabila saya tanya kenapa, dia cuma jawab yang dia suruh saya faham, nanti balik dia cerita semuanya dan ketika itu dia sehelai sepinggang.


“Jadi, saya tak buat apa-apa laporan kepada polis walaupun saya rasa apa yang berlaku ini pelik sebab bila suami cakap dia akan balik tiga hari lagi, fahaman saya dia akan balik,”
katanya kepada Bernama di kediamannya di Taman Seria, Ampang dekat sini, semalam.


Beliau berkata, pada hari kejadian, suaminya memberitahu bahawa dia ke Banting atas urusan kerja bersama-sama Sosilawati, Kamaruddin dan Ahmad Kamil.


“Dan apa yang saya tahu pada masa itu, suami saya menaiki kereta dengan Ahmad Kamil sebab sebelum bertolak ke Banting dia ada telefon bagi tahu yang dia nak bertolak,” katanya.


Suzana mempunyai tiga anak hasil perkahwinannya dengan Noorhisham berkata, sejak 31 Ogos hingga kini dia tidak dapat menghubungi suaminya.


“Pada hari berikutnya itu, saya risau kenapa dia tak hubungi. Petang saya hubungi dan SMS suami saya guna telefon saya dan anak, tetapi tak dapat,”katanya.


Menurutnya, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira 5 petang pada Khamis lalu selepas tiga hari suaminya tidak pulang ke rumah. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Baliknantiabangcerita/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...